Cabaran dan Hala Tuju Industri Getah Malaysia

Isi Kandungan

1. Status Industri Getah Malaysia 2022

Industri Getah Malaysia, pada suatu ketika pernah menjadi salah satu komoditi terbesar negara tetapi pada akhir tahun 2021, kedudukan Malaysia dalam senarai pengeluar getah asli dunia jatuh ke tangga ketujuh berdasarkan Statistik Industri Getah Malaysia 2021. Kini, Thailand, Indonesia dan Vietnam mendominasi kedudukan tiga teratas dengan pengeluaran minimum 1.2 juta tan metrik manakala Malaysia hanya menyumbang sebanyak 0.5 juta tan metrik.

Penurunan pengeluaran getah asli negara pada tahun 2021 mengetengahkan cabaran yang dihadapi oleh perusahaan getah di Malaysia untuk tahun-tahun berikutnya. Cabaran-cabaran ini, jika dibiarkan boleh menggugat kesinambungan dan kelestarian industri getah negara.

2. Cabaran

Berdasarkan wawancara khas bersama Pengerusi RISDA, Yang Berhormat Datuk Seri Haji Mohd Salim Bin Mohd Sharif, antara cabaran yang dihadapi oleh perusahaan getah di Malaysia termasuk;

Keluasan Getah

Sebagai salah satu komoditi terbesar negara, industri getah Malaysia terikat dengan Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN 2030) di mana badan terlibat seperti RISDA (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah) perlu memastikan keluasan getah pada tahun 2030 ialah seluas 1.115 juta hektar. Angka ini dirangka oleh DAKN berdasarkan pencapaian pada tahun 2020 iaitu seluas 1.107 hektar. Keluasan getah yang ditetapkan ini sepatutnya menjadi refleksi peningkatan pengeluaran getah asli menjelang tahun 2030.

Oleh hal demikian, keluasan getah ini hanya mengambil kira tanah-tanah yang mempunyai kebun getah berekonomik. Cabaran utama untuk RISDA bagi mencapai matlamat ini ialah melaksanakan tanaman semula getah di kebun-kebun lama yang sudah tidak mempunyai pokok getah berekonomik. RISDA turut bertanggungjawab merangsang pembukaan kebun getah baharu bagi menambah keluasan tanah yang ditetapkan oleh DAKN.

Demi memenuhi objektif yang ditetapkan oleh DAKN, RISDA mensasarkan keluasan 25,000 hektar setahun bagi proses penanaman semula getah dan pembukaan kebun getah baharu.

Pemilikan Tanah

Perkongsian pemilikan tanah bagi perusahaan getah di Malaysia lazimnya terbahagi kepada dua iaitu milikan peribadi dan milikan korporat. Di Malaysia, tanah milikan peribadi khususnya dalam kalangan pekebun kecil merupakan pihak majoriti. Berdasarkan pemerhatian RISDA, tanah milikan pekebun kecil di seluruh Malaysia mempunyai purata keluasan sebanyak 1.9 hektar.

Pekebun kecil dimaksudkan kebiasaannya merupakan individu persendirian yang memilih untuk mengusahakan tanah mereka dengan tanaman getah. Ini mengakibatkan ketidaktentuan dan ketidakseragaman lokasi kebun-kebun getah. Kebanyakan kebun-kebun getah yang diusahakan oleh pekebun kecil lazimnya berselerak dan terletak jauh di pedalaman. Situasi ini menyukarkan pihak RISDA untuk mengatur dan membantu pekebun kecil dalam skala yang lebih besar.

Produktiviti

Seiring dengan peningkatan keluasan tanah, DAKN turut mensasarkan peningkatan produktiviti getah negara sebanyak 1,950kg/hektar/tahun menjelang tahun 2030. Seperti perangkaan keluasan tanah, perangkaan sasaran peningkatan produktivit getah ini juga berdasarkan hasil pada tahun 2021. Pada tahun 2021, produktiviti getah negara yang dilaporkan oleh Lembaga Getah Malaysia ialah 1,422 kg/hektar/tahun dengan sektor pekebun kecil berada pada tahap 1,573 kg/hektar/tahun.

Jika sekadar mengambil kira produktiviti getah sektor pekebun kecil, sasaran yang ditetapkan oleh DAKN memerlukan peningkatan sekurang-kurangnya sebanyak 19%. Proses meningkatkan produktiviti getah perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk cuaca, kawalan penyakit, dan pengurusan kebun. Faktor-faktor ini juga memberi impak berbeza di setiap kebun getah terutama mengambil kira lokasi dan kapasiti pekebun kecil.

Usia Pekebun Kecil

Apa yang dimaksudkan oleh kapasiti pekebun kecil termasuk keupayaan untuk mejalankan operasi pengurusan kebun getah dengan lancar dan status kewangan. Berdasarkan laporan banci yang dilakukan oleh RISDA pada tahun 2013, 58% pekebun kecil getah Malaysia berusia 51 tahun ke atas. Pekebun kecil pada usia sebegini kurang berupaya untuk mengusahakan kebun getah mereka sendiri dengan optimum.

Bagi menangani isu ini, pekebun kecil biasanya akan menggaji penoreh getah untuk mengusahakan kebun getah mereka. Isu berbangkit biasanya ialah gaji penoreh getah agak rendah kerana bergantung kepada kemampuan kewangan pekebun kecil. Ini menyukarkan pekebun kecil mendapatkan bantuan tenaga kerja untuk kebun getah mereka.

Cabaran bagi RISDA ialah untuk menarik minat generasi muda dalam lingkungan usia 18 hingga 40 tahun untuk mengusahakan kebun getah mereka sendiri dan membantu membekalkan bantuan tenaga kerja yang cukup kepada pekebun kecil berusia.

Harga Pasaran Getah

Antara isu atau cabaran yang sering berbangkit dalam industri getah ialah ketidakstabilan harga pasaran getah. Lembaga Getah Malaysia melaporkan bahawa pada tahun 2009, harga purata SMR20 adalah RM6.37 dan harga pasaran getah ini mengalami peningkatan ketara pada tahun 2011 dengan harga purata RM13.48. Namun sedemikian, harga purata SMR20 mula menurun pada tahun berikutnya sehingga serendah RM6.87.

Selain itu, majoriti hasil getah daripada pekebun kecil ialah dalam bentuk getah sekerap sedangkan susu getah atau getah asli lebih mahal. Ini kerana kekerapan pengumpulan getah sekerap lebih sedikit berbanding susu getah. Bagi pekebun kecil yang tidak mempunyai kudrat untuk menoreh getah dengan lebih kerap, getah sekerap menjadi satu-satunya hasil yang dipasarkan.

Ketidakstabilan harga pasaran getah adalah salah satu sebab pihak RISDA sukar menarik minat generasi baru dan memotivasikan pekebun kecil sedia ada untuk terus mengusahakan kebun getah mereka. Isu terbesar dalam ketidakstabilan harga pasaran getah ialah hakikat bahawa penetapan harga pasaran ini bergantung kepada pasaran getah dunia.

Sejurus, proses menstabilkan harga pasaran getah memerlukan usahasama gigih antara Malaysia dan negara-negara pengeluar getah yang lain.

Saingan Tanaman Komoditi Lain

Kesan secara langsung ketidakstabilan harga pasaran getah ialah kecenderungan pemilik tanah beralih ke tanaman komoditi lain. Kecenderungan ini turut merangkumi pekebun kecil sedia ada sekaligus menjejaskan keluasan tanah dan produktiviti getah semasa. Tanaman komoditi lain yang menjadi pilihan termasuk sawit, biji koko, dan durian.

Tanaman sawit dan durian merupakan pesaing terbesar tanaman getah memandangkan kedua-duanya merupakan jenis tanaman jangka panjang. Tarikan utama kedua-dua jenis tanaman ini ialah harga pasarannya yang lebih tinggi iaitu pada harga RM4,997.59 setan (tanaman sawit) dan RM52.00 sekilogram (tanaman durian musang king) berbanding harga getah SMR20 pada harga RM6.99 sekilogram berdasarkan harga semasa bertarikh 28 Jun 2022.

RISDA kini perlu menghadapi cabaran untuk meyakinkan pekebun kecil sedia ada supaya terus mengekalkan tanaman getah mereka terutaman berhadapan perbezaan ketara harga pasaran getah dengan tanaman komoditi lain.

Teknologi

Sejak industri getah mula bertapak di Malaysia, perkembangan teknologi bagi industri ini agak perlahan. Sehingga kini, pembaharuan dan penyelidikan teknologi getah pada peringkat huluan masih lagi di takuk lama. Meskipun terdapat inovasi teknologi dan peralatan baharu untuk perusahaan getah moden, teknologi serta peralatan ini kurang praktikal. Malah, teknologi dan peralatan ini memerlukan kos yang tinggi di pihak pekebun kecil.

Tambahan pula, proses penghantaran teknologi dan peralatan baharu ini juga memerlukan perancangan logistik yang rapi sekiranya melibatkan kebun getah di kawasan pedalaman.

Penyakit

Seperti tanaman lain, tanaman getah juga terdedah dengan ancaman penyakit. Kebelakangan ini, penyakit yang menjadi ancaman terbesar tanaman getah ialah penyakit Luruhan Daun Pestalotiopsis (LDP). Penyakit Luruhan Daun Pestalotiopsis ialah sejenis penyakit kulat yang menyebabkan daun pokok getah luruh dengan ketara. Luruhan daun ini mampu menjejaskan pengeluaran hasil getah sebanyak 50% kerana proses penghasilan lateks bermula pada daun pokok getah.

Setakat ini, RISDA berjaya mengenal pasti kebun-kebun terkesan dengan penyakit ini. Anggaran keluasan keseluruhan bagi kebun-kebun yang terjejas ialah seluas 39,000 hektar. Terkini, RISDA hanya mampu menangani isu penyakit LDP di sebahagian kebun-kebun getah yang terkesan sehingga keluasan 17,000 hektar. Kos pelaksanaan program rawatan dan pencegahan ini melibatkan jutaan ringgit dan merupakan penyebab kenapa keseluruhan program perlu dilakukan secara berperingkat.

3. Solusi

Yang Berhormat Datuk Seri Haji Mohd Salim Bin Mohd Sharif turut mengulas dalam wawacara sama tindakan yang telah diambil oleh pihak beliau untuk menangani kelapan-lapan cabaran ini. Solusi yang diulas oleh beliau merangkumi empat teras utama dalam Model Perancangan Strategik RISDA (MPSR) iaitu:

Teras 1: Tanah Pekebun Kecil

Teras pertama RISDA dirangka bagi menangani isu keluasan tanah, pemilikan tanah, dan usia pekebun kecil. Teras pertama mempunyai dua inisiatif utama iaitu;

Pembangunan Komoditi Getah bertujuan untuk
Menambah bilangan kebun getah matang berekonomik melalui insentif tanaman semula
Memudahkan proses pembukaan kebun getah di kawasan pedalaman melalui penghantaran teknologi serta peralatan
Memberi galakan pembukaan kebun getah baharu dengan memberi bantuan kepada penoreh getah dan pekebun kecil
Produktiviti dan Pemasaran bertujuan untuk
Membantu pekebun kecil meningkatkan produktiviti getah melalui bantuan peralatan, baja dan tenaga kerja
Menggalakkan pekebun kecil memasarkan hasil lebih lumayan seperti susu getah
Teras 2: Hasil Baharu Pekebun Kecil

Teras kedua RISDA dirangka bagi menyelesaikan isu ketidakstabilan harga pasaran getah dan saingan komoditi lain. Teras kedua RISDA memfokuskan peningkatan purata pendapatan pekebun kecil melalui galakan penceburan dalam bidang ekonomi lain. Teras ini merangkumi tiga inisiatif utama iaitu Keusahawanan, Agromakanan dan Industri Hiliran.

Pembangunan Usahawan yang menggalakkan pekebun kecil menceburi bidang keusahawanan dengan membekalkan bantuan dan latihan
Aktiviti Ekonomi Tambahan yang memfokuskan pemberian bantuan keperluan perniagaan dan pemasaran kepada usahawan pekebun kecil
Inisiatif Agromakanan bertujuan untuk

✔ Menggalakkan pekebun kecil menerokai sumber baharu selain getah

✔ Menggalakkan pekebun kecil mengusahakan sumber baharu ini dalam bentuk agromakanan seperti tanaman cili, jagung bijirin, dan lain-lain

✔ Memberi bantuan dan keperluan lain kepada pekebun kecil untuk mengusahakan sumber baharu ini

Teras 3: Syarikat Milikan RISDA (SMR)

Teras ketiga RISDA dirangka bagi menangani semua isu utama melalui penambahan dana. Melalui teras ini, SMR perlu memfokuskan usaha menyatukan sumber mereka bagi menjana Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) berjumlah RM248 juta sepanjang tempoh pelaksanaan MPSR 2021-2025. Hasil keuntungan ini disalurkan untuk mendokong peranan RISDA dalam pembangunan pekebun kecil.

Tiga insiatif utama di bawah teras ini ialah

✔ Perniagaan Dalaman - memastikan SMR giat melaksanakan aktiviti perniagaan utama dengan lebih aktif demi memperkasakan SMR

✔ Perniagaan Luaran - memastikan SMR melaksanakan aktiviti perniagaan lain dengan lebih aktif demi memperkasakan SMR

✔ Rintis Perniagaan - memastikan SMR menerokai sumber atau peluang perniagaan baharu demi memperkasakan SMR

Teras 4: Landaran Inklusiviti

Teras keempat ini dirangka bagi menangani semua isu utama dengan menyelaraskan pengurusan operasi RISDA. Penyelarasan operasi RISDA ini bertujuan memudahkan pihak RISDA mengatur tenaga kerja untuk mencapai sasaran tertentu serta menyalurkan sebarang bentuk bantuan kepada pekebun kecil seperti proses penghantaran peralatan, pemantauan kebun getah, dan lain-lain.

Teras ini merangkumi tiga inisiatif utama yang memfokuskan anjakan paradigma dan pembaharuan sistem penyampaian seiring dengan perkembangan teknologi semasa iaitu

Internet of Things (IoT) bertujuan memudahkan proses pengendalian segala aspek dalam perusahaan getah pekebun kecil termasuk merekodkan profil pekebun kecil, memasarkan hasil pekebun kecil dan lain-lain melalui perangkaan pelbagai sistem dalam talian
Green Management Practices (GMP) bertujuan menggalakkan penggunanan teknologi hijau melalui pelaksanaan program atau projek seperti Good Agricultural Practices (GAP) dan Kajian Impak
✔ Modal Insan Berintegriti bertujuan melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan berintegriti melalui program atau projek seperti Latihan Impak Tinggi

4. Hala Tuju Industri Getah Malaysia

Hala tuju Industri Getah Malaysia pada ketika ini sedang menurun jika berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Walaubagaimanapun, RISDA, sebagai badan bertanggungjawab untuk mengawal selia industri getah dalam sektor pekebun kecil giat memastikan sektor ini akan terus membantu meningkatkan prestasi industri getah negara.

MPSR 2021 - 2025 telah dirangka bagi memastikan kelestarian industri getah Malaysia dalam sektor pekebun kecil. Objektif utama MPSR 2021 - 2025 iaitu “pekebun kecil memperoleh purata pendapatan kolektif RM4,500 sebulan sekeluarga pada akhir tahun 2025” ditetapkan setelah mengambil kira cabaran utama dalam industri dan keempat-empat teras yang dirangka untuk menyelesaikannya.

Secara ringkasnya, matlamat RISDA adalah supaya ‘gaji penoreh getah’ meningkat sehingga RM4,500 dari pelbagai sumber, bukan hanya dari getah pada akhir tahun 2025.

Bagi mencapai matlamat ini, RISDA memastikan setiap bantuan yang dirangka selaras dengan objektif MPSR 2021 – 2025. RISDA turut berusaha untuk memastikan penoreh getah bukan pemilik yang bekerja di bawah pekebun kecil turut mendapat manfaat yang sama. Bantuan RISDA untuk penoreh getah seperti Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) ialah salah satu contoh bantuan inklusif yang dirangka demi menjaga kebajikan ahli-ahlinya.

Secara keseluruhan, hala tuju industri dilihat berada di landasan yang betul berdasarkan pencapaian-pencapaian RISDA seperti;

Pembinaan 183 pusat Kemudahan Infrastruktur Pemasaran

✔ Melahirkan 11,238 usahawan pekebun kecil

✔ 5,695 pekebun kecil memperoleh bantuan untuk menjana hasil baharu

✔ 318,642 pekebun kecil menjadi penerima BMT termasuk penoreh getah

Bagi mendapatkan gambaran penuh hala tuju industri getah negara di bawah kelolaan RISDA, anda digalakkan untuk menghubungi kami secara langsung. Anda juga boleh melihat gambaran terkini industri getah melalui Statistik Industri Getah Jan-Mac 2022.
Top