Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyarankan supaya pemilik tanah yang ingin menyertai penanaman semula getah bergabung secara berkelompok bagi meningkatkan produktiviti getah negara.
Pengerusinya, Manndzri Nasib berkata, menerusi Program Tanam Semula Berkelompok (TSB), pekebun kecil dapat menikmati pelbagai manfaat termasuk bantuan teknikal, sokongan kewangan dan akses kepada teknologi moden.
Beliau berkata TSB juga dapat meningkatkan kualiti hasil getah, mengurangkan kos operasi serta aspek kelestarian ladang dalam jangka masa panjang.
“Pengurusan kebun getah melalui konsep gabungan penubuhan jawatankuasa di kalangan pemilik akan memastikan pembangunan serta pengurusan kebun dijalankan dengan lebih ekonomik dan cekap.
“Selain itu, peserta TSB juga mempunyai kelebihan dalam penerimaan prasarana asas termasuk jalan pertanian, parit dan pembentung yang turut memberi faedah kepada penduduk sekitar dalam usaha merancakkan aktiviti ekonomi desa.
“Usaha peningkatan ekonomi menerusi projek integrasi secara ‘on farm’ atau ‘off farm’ di kawasan projek TSB seperti tanaman kontan serta ternakan juga boleh dilaksanakan kerana mempunyai potensi janaan pendapatan yang baik,” katanya ketika lawatan rasmi ke Projek TSB Tanjung Rengas di Kampung Pasir Simpul, Hulu Terengganu di sini pada Isnin yang turut dihadiri pengarah RISDA Terengganu, Zulkifli Salleh.
Dalam pada itu, Manndzri berkata RISDA juga menyasarkan 82 projek tanaman dilaksanakan secara TSB di seluruh negara pada tahun ini.
Projek itu dijangka melibatkan kawasan seluas 3,156 hektar yang bakal memanfaatkan 1,864 pekebun kecil.
Menurutnya, terbaharu di Terengganu, projek TSB Tanjung Rengas seluas 25.56 hektar sedang dibangunkan di Hulu Telemung dengan peruntukan sebanyak RM350,000 melibatkan 15 peserta projek.
“82 projek ini termasuk di Terengganu, Pahang, dan Sarawak serta beberapa lagi negeri kerana kita sedang dalam usaha proaktif membuka tanah-tanah baharu untuk penanaman getah.
“Projek ini adalah sebahagian daripada usaha memperkasa produktiviti dan pengeluaran getah asli negara sekali gus menyumbang kepada kemakmuran warga desa MADANI,” katanya.
Tidak terhenti di situ, RISDA juga menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta tahun ini bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti di bawah Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) dan Pembangunan Usahawan bagi memperkasa pendapatan pesertanya.
“Pihak RISDA sentiasa mengalu-alukan penyertaan daripada semua pihak yang berminat untuk terlibat dengan program penanaman getah yang menjadi antara komoditi penting negara.
“Setakat ini, seramai 553,000 peserta bernaung di bawah RISDA dengan keluasan kawasan tanaman melebihi satu juta hektar,” katanya.