Inisiatif Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) yang diperkenalkan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berjaya mencapai sasaran purata pendapatan kolektif keluarga pekebun kecil sebanyak RM4,500 sebulan.
Demikian dinyatakan Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib yang mana seramai 16,000 peserta AET ketika ini mampu menjana pendapatan melepasi garis sasaran tersebut merangkumi empat bidang perniagaan iaitu perkhidmatan, makanan, pembuatan dan pertanian.
“Secara dasarnya, pencapaian AET ini selaras dengan Model Perancangan Strategik RISDA (MPSR) 2030-2025.
“Justeru, pelaksanaan AET ini boleh dikatakan telah memberi impak positif kepada usaha menjana pendapatan keluarga pekebun kecil menerusi aktiviti perniagaan serta keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan lawatan kerja meninjau tiga projek usahawan AET di Mukim Ketereh, di sini pada Isnin.
Mandzri yang juga Ahli Parlimen Tenggara menambah, AET yang bersifat sebagai ‘Entry Point Project’ (EPP) itu turut membuka ruang kepada pekebun kecil untuk menceburi industri atau perniagaan baharu yang menjana pendapatan lumayan dan tidak terikat dengan industri getah semata-mata.
Dalam pada itu, beliau turut memberikan contoh tiga usahawan AET iaitu pengusaha madu kelulut, Nur Izzatie Zulkifli, 29; pengusaha pertukangan kayu, Muhammad Asyraf Muhammad Amin, 24 dan usahawan kerepek, Ahmad Asyraf Hakimi, 33, yang telah berjaya membuktikan kemampuan mereka untuk berjaya serta maju dalam bidang perniagaan masing-masing.
“Ketiga-tiga mereka ini merupakan antara usahawan di bawah inisiatif AET yang RISDA bantu dan diberikan bimbingan.
“Alhamdulillah, mereka memperolehi pendapatan lima angka setiap sebulan,” ujarnya.