Suara Risda

Statistik Industri Getah Malaysia 2021

Isi Kandungan

1. Statistik Industri Getah Global

Pada awal tahun 2022, Jabatan Perdana Menteri dengan usahasama Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengeluarkan surat berita mengenai Industri Getah Malaysia bagi tahun 2021.

Surat berita ini kemudiannya telah digunakan untuk merangka pelan pelaksanaan industri getah negara bagi tahun 2021 hingga 2022.

Antara perkara yang dibincangkan ialah Statistik Industri Getah Global bagi tahun 2019 hingga 2020. Berikut merupakan graf bar yang menyenaraikan 10 Pengeluar Utama Getah Asli Dunia sepanjang tempoh tersebut;

Graf bar menunjukkan 10 Negara teratas yang merupakan pengeluar getah asli dunia bagi tahun 2019-2020.

Berdasarkan graf di atas, Thailand, Indonesia dan Vietnam masih mengekalkan tempat mereka sebagai pemain utama dalam pasaran. Manakala pengeluaran getah Malaysia menjunam ke tangga ketujuh, daripada tangga ketiga yang pernah diduduki pada tahun 2015.

Secara keseluruhan, pengeluaran getah asli dunia ialah sebanyak 14.8 juta tan metrik pada tahun 2020. Thailand mendahului apabila berjaya mencatat pengeluaran sebanyak 4.7 juta tan metrik (31.7% daripada jumlah keseluruhan) diikuti oleh Indonesia, 3.4 juta tan metrik (22.7%), dan Vietnam dengan 1.2 juta tan metrik (8.3%).

Kadar eksport ketiga-tiga negara ini juga jauh mendahului kadar eksport getah Malaysia seperti tertera dalam graf bar di bawah;

Bar graf eksport getah asli mengikut negara bagi tahun 2015-2020 untuk Thailand, Indonesia, dan Vietnam.

2. Statistik Industri Getah Malaysia

Bagi memahami perbezaan jurang antara ketiga-tiga negara pengeluar getah asli teratas dunia, anda perlu fahami kedudukan semasa Malaysia bagi tahun 2021. Berikut ialah graf bar menunjukkan jumlah eksport getah asli Malaysia bagi tahun 2015 hingga 2021;

Graf bar menunjukkan kadar eksport getah asli Malaysia bagi tahun 2015 hingga 2021.

Berbeza dengan graf bar yang menunjukkan data eksport getah bagi Thailand, Indonesia, dan Vietnam, graf bar data eksport getah Malaysia belum lagi mencapai nilai juta tan metrik menjelang 2021. Perbezaan ketara antara jumlah eksport ini didorong oleh pelbagai faktor termasuk pengeluaran, penggunaan domestik, dan stok.

Malaysia sedang mengalami kekurangan stok sedia ada memandangkan negara kita masih memerlukan pengimportan getah asli daripada negara jiran. Berikut merupakan bar graf menunjukkan jumlah import getah asli Malaysia bagi tahun 2015 hingga 2021;

Graf bar menunjukkan kadar import graf asli Malaysia bagi tahun 2015 hingga 2021.

Graf bar tersebut menunjukkan peningkatan ketara menjelang tahun 2020 dan hanya sedikit penurunan pada tahun 2021. Data ini secara langsung berkaitan dengan ketidakserasian kadar pengeluaran getah asli di Malaysia dengan kadar penggunaan getah asli. Berikut merupakan statistik pengeluaran getah asli Malaysia pada tahun 2015 hingga 2021 dibandingkan dengan statistik penggunaan getah asli Malaysia dalam tempoh yang sama;

Graf bar menunjukkan kadar pengeluaran getah asli Malaysia pada tahun 2015 hingga 2021.
Graf bar menunjukkan kadar pengeluaran getah asli Malaysia pada tahun 2015 hingga 2021.

Berdasarkan data pengeluaran getah asli Malaysia di dalam graf di atas, Malaysia hanya mencatatkan pengeluaran getah asli sebanyak 469.7 ribu tan metrik sahaja iaitu penurunan sebanyak 8.7% berbanding tahun sebelumnya. Walaupun kadar penggunaan getah asli di Malaysia menurun menjelang tahun 2021 dengan jumlah 502.0 ribu tan - penurunan sebanyak 3.2%, perbezaan antara pengeluaran dan penggunaan getah asli di Malaysia masih ketara menunjukkan terdapat permintaan terhadap getah asli dalam negara kita sendiri.

3. Status Pasaran Getah Semasa

Berita baiknya, apabila kadar permintaan getah asli semakin tinggi, harga getah semasa juga akan menaik. Ini boleh dilihat pada purata pasaran getah di Malaysia pada tahun 2021. Pada akhir tempoh 2021, purata harga getah Malaysia menunjukkan trend menaik seiring dengan kenaikan harga getah di peringkat global.

Berikut merupakan jadual graf perbandingan harga purata getah Malaysia dan harga purata getah dunia bagi tahun 2020 hingga 2021;

Carta graf menunjukkan kenaikan harga purata getah Malaysia pada tahun 2020 dan 2021.
Carta graf menunjukkan kenaikan harga purata getah dunia pada tahun 2020 dan 2021.

Jika dilihat pada carta graf harga purata getah Malaysia, anda boleh melihat peningkatan harga getah sekerap ialah sebanyak 18.8% dengan harga purata 713.00 sen per kilogram. Harga getah SMR 20 pula mencatatkan peningkatan sebanyak 13.4% dengan harga purata 584.07 sen per kilogram.

Harga getah dunia bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) meningkat sebanyak 9.5% pada tahun 2021 berbanding akhir tahun 2020 dengan harga USD1.57 per kilogram. Sayangnya, harga getah jenis SGP/MYS (Singapura/Malaysia) pula menunjukkan penurunan sebanyak 17.4% berbanding akhir tahun lalu iaitu pada harga USD2.33 per kilogram.

Kenaikan dan penurunan harga getah dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti harga minyak mentah dunia, peningkatan pengeluaran kenderaan global, kekurangan bekalan getah, dan kelemahan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.

Apa yang boleh disimpulkan ialah walaupun terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi kenaikan dan penurunan harga getah, permintaan getah asli masih ada malah semakin menaik - perbezaannya ialah jenis hasil getah yang dikumpul, diproses serta dipasarkan.

4. Isu dan Cabaran

Pada ketika ini, industri getah Malaysia mengalami penurunan dari segi pengeluaran getah. Berdasarkan pemerhatian dan kaji selidik yang telah dilakukan oleh RISDA (Rubber Industry Smallholders Development Authority), terdapat empat isu dan cabaran utama yang melanda industri getah negara.

Antara isu dan cabaran yang dihadapi termasuk;

Cuaca Tidak Menentu

Sebagai sebuah negara beriklim khatulistiwa, Malaysia mengalami cuaca hujan dan panas berterusan sepanjang tahun yang ideal untuk tanaman pokok getah. Namun, beberapa tahun kebelakangan ini Malaysia mengalami cuaca tidak menentu akibat monsun. Apabila negara mengalami hujan atau ribut berpanjangan sehingga melibatkan banjir, ini menjejaskan hasil pengeluaran getah kerana aktiviti penorehan tidak boleh dilakukan.

Tambahan pula, apabila kebun getah yang diusahakan pekebun kecil dilanda banjir, mereka terpaksa menanggung kos membaikpulih kebun serta mengalami kesukaran untuk meningkatkan penghasilan lateks.

Ancaman Penyakit

Sejak beberapa tahun ini, tanaman getah negara turut menerima ancaman penyakit luruhan daun yang dikenali sebagai Pestalotiopsis. Pestalotiopsis sp. adalah sejenis kulat penyebab penyakit pada tumbuhan di kawasan tropika yang beriklim sederhana. Penyakit ini merupakan antara ancaman besar kepada pengeluaran getah negara kerana apabila kulat Pestalotiopsis sp. menjangkiti daun, tangkai, dahan, dan batang pokok getah, ia mengakibatkan keguguran daun getah matang.

Keguguran daun getah matang secara langsung mengurangkan produktiviti hasil sehingga 50%. Ini kerana proses penghasilan lateks daripada pokok getah bermula pada penghasilan lateks pada daun dan kemudiannya disalurkan ke bahagian lain termasuk tapak torehan. Penyakit ini telah menjejaskan majoriti pengeluaran hasil getah di peringkat terawal iaitu di kebun getah.

Tarikan Komoditi Lain

Hakikatnya, tanaman getah ialah tanaman jangka panjang yang menyebabkan kebanyakan pekebun kecil dan estet getah diganti dengan komoditi lain terutamanya tanaman sawit. Kemajuan pertanian dan faktor harga tanaman sawit menjadi cabaran terbesar kepada pengeluaran getah negara malah, sumbangan sawit kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) yang agak tinggi iaitu sebanyak 2.8% diikuti dengan permintaan serta harga pasaran tinggi ialah tarikan terbesar komoditi ini.

Peralihan komoditi tanaman getah kepada sawit dalam kalangan pekebun kecil memberi impak yang besar kepada pengeluaran getah negara kerana pekebun kecil menyumbang sehingga 90.3% daripada jumlah keseluruhan pengeluaran getah pada peringkat huluan - penghasilan getah mentah di kebun.

Tenaga Kerja

Bagi estet atau kebun yang memerlukan tenaga kerja asing untuk aktiviti penorehan getah, penutupan sempadan dan sekatan pengambilan pekerja asing baharu memperlahankan proses pengeluaran getah asli. Malahan, bukan industri getah sahaja yang menghadapi isu ini bahkan sektor pertanian secara keseluruhan.

5. Halatuju Semasa

Halatuju semasa bagi industri getah amat dipengaruhi oleh statistik serta isu dan cabaran di atas. RISDA, sebagai badan bertanggungjawab telah mengambil langkah proaktif untuk memastikan keberlangsungan industri getah di negara kita.

Antara langkah diambil oleh RISDA bagi memastikan halatuju semasa getah berkembang ialah dengan merangka insentif dan bantuan khas kepada pekebun kecil. Insentif yang dirangka termasuk pelancaran program-program memfokuskan pengeluaran hasil getah yang merangkumi bekalan bahan rangsangan lateks dan set kawalan penyakit.

Menyedari keperluan pekebun kecil dari segi modal, RISDA turut menawarkan bantuan seperti Bantuan Tanam Semula dan Bantuan Musim Tengkujuh. Bantuan Tanam Semula menggalakkan pekebun kecil menanam semula pokok getah tua atau tidak berekonomi dengan baka baharu yang lebih baik. Bantuan Musim Tengkujuh pula merupakan bantuan khas bagi membantu menjana pendapat pekebun kecil dan penoreh getah yang terkesan dengan cuaca hujan berterusan atau banjir.
Menyedari keperluan pekebun kecil dari segi modal, RISDA turut menawarkan bantuan seperti Bantuan Tanam Semula dan Bantuan Musim Tengkujuh. Bantuan Tanam Semula menggalakkan pekebun kecil menanam semula pokok getah tua atau tidak berekonomi dengan baka baharu yang lebih baik. Bantuan Musim Tengkujuh pula merupakan bantuan khas bagi membantu menjana pendapat pekebun kecil dan penoreh getah yang terkesan dengan cuaca hujan berterusan atau banjir.
Hubungi kami sekarang untuk sebarang persoalan atau layari portal rasmi RISDA untuk melihat gambaran penuh halatuju semasa bagi pekebun kecil.
Top