Suara Risda

Jana Pendapatan dengan Aktiviti Ekonomi Tambahan

Isi Kandungan

1. Apakah Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET)?

Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) merupakan salah satu inisiatif RISDA (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah)  di bawah Program Pembangunan Usahawan. Secara keseluruhan, Program Pembangunan Usahawan direka bagi membantu meningkatkan jumlah pendapatan serumah pekebun kecil melalui aktiviti perniagaan. Ini selaras dengan Model Perancangan Strategik RISDA (MPSR) bagi tahun 2020 – 2025 iaitu “pekebun kecil memperoleh purata pendapatan kolektif RM4,500 sebulan sekeluarga pada akhir tahun 2025”.
AET memainkan peranan utama dalam proses pelaksanan program ini menerusi Entry Point Project (EPP). Inisiatif ini bertindak sebagai pelan tindakan yang menggariskan jenis industri, jenis perniagaan, bantuan, dan tatacara proses permohonan bagi melayakkan pekebun kecil menyertai Program Pembangunan Keusahawanan.

2. Jenis Perniagaan dan Industri

Walaupun RISDA merupakan sebuah badan khusus bagi industri getah, bagi memastikan objektif Program Pembangunan Usahawan berjaya dicapai, RISDA memberi kelonggaran dalam jenis industri dan jenis perniagaan yang boleh diceburi oleh pekebun kecil melalui AET. Dalam erti kata lain, pekebun kecil boleh menceburi industri baharu untuk menjana pendapatan yang lebih lumayan.

Jenis Industri

Aktiviti Ekonomi Tambahan membolehkan pekebun kecil berjinak-jinak dalam pelbagai industri berbeza, namun empat industri telah digariskan sebagai industri yang diutamakan oleh RISDA;

Industri Perkhidmatan
Industi Makanan
Industri Pembuatan
Industri Pertanian

Jenis Perniagaan

RISDA memberi kelonggaran kepada pekebun kecil untuk menceburi sebarang jenis perniagaan di bawah empat industri utama yang dikeutamakan. Ini adalah supaya pekebun kecil mempunyai kebebasan untuk menjalankan dan memajukan perniagaan yang diusahakan menggunakan skil atau kemahiran sedia ada.

Demi memenuhi objektif yang ditetapkan oleh DAKN, RISDA mensasarkan keluasan 25,000 hektar setahun bagi proses penanaman semula getah dan pembukaan kebun getah baharu.

Industri Pertanian

Cara jana pendapatan terbaik bagi pekebun kecil melalui perniagaan untuk industri pertanian termasuk;

Membuka laman kebun
Mengusahakan ternakan
Membuka tapak semaian
Menjual pokok landskap atau bunga-bungaan
Mengusahakan tanaman buah-buahan
Mengusahakan tanaman herba
Mengusahakan cendawan
Mengusahakan madu kelulut

Industri Perkhidmatan

Cara jana pendapatan terbaik bagi pekebun kecil melalui perniagaan untuk industri perkhidmatan termasuk;

Membuka kedai gunting rambut
Membuka kedai jahitan
Membuka kedai iklan dan percetakan
Menjadi kontraktor atau agen pengurusan ladang
Mengusahakan taska

Industri Makanan

Cara jana pendapatan terbaik bagi pekebun kecil melalui perniagaan untuk industri makanan termasuk;

Mengusahakan jualan makanan ringan atau tradisional
Mengusahakan produk sejuk beku
Membuka kedai pastri
Mengusahakan produk minuman
Mengusahakan produk rempah ratus
Mengusahakan produk perencah atau sos

Industri Pembuatan

Cara jana pendapatan terbaik bagi pekebun kecil melalui perniagaan untuk industri pembuatan termasuk;

Menghasilkan dan mengusahakan produk berasaskan kayu
Menghasilkan dan mengusahakan produk logam
Menghasilkan dan mengusahakan produk tanah liat atau pasir
Menghasilkan dan mengusahakan tekstil
Menghasilkan dan mengusahakan produk huluan serta produk hiliran getah atau sawit

3. Inisiatif dan Sumber RISDA

Aktiviti Ekonomi Tambahan memperkenalkan lima jenis skim insentif kepada pekebun kecil atau ahli serumah yang ingin menceburi bidang keusahawanan melalui Program Pembangunan Usahawan RISDA;

1. Skim AET Individu Start-Up atau Nano

Individu Start-up merujuk kepada usahawan dalam kategori Pico di mana perniagaan yang ingin diusahakan masih di peringkat awal penubuhan dan memperoleh jualan kurang daripada RM60,000 setahun atau dalam tempoh tertentu.
Individu Nano pula merujuk kepada usahawan dalam proses pembangunan atau pengeluaran produk yang telah memulakan perniagaan dan memperoleh jualan antara RM60,000 hingga RM150,000 setahun.
Skim ini merangkumi Insentif Permulaan Perniagaan yang berfungsi memberi bantuan dari segi mesin dan peralatan, baka ternakan, bahan mentah, makanan ternakan dan ubat-ubatan, insurans perlindungan premis/peralatan/mesin serta membaik pulih premis perniagaan.

2. Skim AET Integrator

Skim di mana syarikat-syarikat tempatan, Syarikat Milikan RISDA (SMR), Koperasi Pekebun Kecil (KPK) atau usahawan Mikro dan ke atas yang telah dilantik serta menandatangai dokumen perjanjian bersama RISDA bertanggungjawab membangunkan usahawan melalui pakej yang ditawarkan.
Skop bantuan bagi skim ini tertakluk kepada pakej yang diluluskan oleh Jawatankuasa Induk Program Keusahawan RISDA (JIPKRIS).
Antara bantuan yang boleh diberikan ialah mesin dan peralatan, baka ternakan, bahan mentah, makanan ternakan dan ubat-ubatan, insurans perlindungan premis/peralatan/mesin serta baik pulih premis perniagaan.

3. Skim AET Tanam Semula (AET - TS)

Bertujuan menjadi cara jana pendapatan tambahan kepada pekebun kecil yang berada dalam fasa penanaman semula kebun getah pada tahun semasa atau berturut.
Pekebun kecil digalakkan melakukan aktiviti keusahawanan dalam industri pertanian secara on farm (aktiviti pertanian dalam kebun tanam semula getah) atau off farm (aktiviti pertanian dalam premis/tanah selain kebun tanam semula getah). Jenis tanaman disyorkan termasuk sayur-sayuran seperti cili, keledek, tanaman herba dan tanaman lain yang diluluskan oleh Jawatankuasa Program Keusahawanan RISDA Negeri/Daerah (JPKRISN/D).
Skop bantuan termasuk kos penyediaan tapak, input pertanian, peralatan serta lain-lain input perniagaan yang diluluskan oleh RISDA dengan had bantuan sebanyak RM5,000 berdasarkan skop ditetapkan.

4. Skim AET Restart

Skim ini memfokuskan usahawan sedia ada yang perniagaannya terkesan dengan bencana seperti pandemik Covid-19, kebakaran, dan banjir. Peserta bantuan ini akan diberi bantuan bernilai RM3,000.
Insentif ini bertujuan membolehkan penerima meneruskan perniagaan dengan cekap dan efisyen menggunakan sumber sedia ada secara optimum. Ini secara tidak langsung akan terus membantu meneruskan usaha penerima meningkatkan pendapatan isi rumah.
Bantuan diberikan termasuk bayaran sewa premis, pembelian peralatan, pembelian mesin, baik pulih bengkel, input pertanian, pembelian makanan ternakan dan input perniagaan lain yang diluluskan oleh RISDA.

5. Skim AET Belia

Skim ini merupakah salah satu inisiatif RISDA untuk menggalakkan penglibatan generasi muda dengan keutamaan kepada anak pekebun kecil menceburi bidang perniagaan.
Bantuan diberikan berbentuk geran yang diberikan secara one off kepada penerima sebanyak RM15,000. Sebanyak RM5,000 daripada jumlah geran diperuntukkan untuk latihan keusahawanan, bimbingan dan pemantauan.
Baki geran RM10,000 pula diperuntukkan untuk pembelian mesin, peralatan, pembayaran sewa premis, dan penyumberan bahan mentah.

4. Syarat Kelayakan dan Proses Permohonan

Seperti telah dibincangkan, Aktiviti Ekonomi Tambahan ialah salah satu proses penting dalam Program Pembangunan Usahawan RISDA. Sekiranya anda berminat untuk menjadi salah seorang usahawan RISDA melalui Program Pembangunan Usahawan, berikut merupakan maklumat penting yang perlu anda tahu untuk memohon bantuan melalui Program AET.

Syarat Kelayakan

Syarat kelayakan khusus untuk AET ialah;

Pemohon mestilah Pekebun Kecil warganegara Malaysia yang berdaftar ataupun suami/isteri/anak Pekebun Kecil (mengikut Daftar Banci RISDA). Keutamaan diberikan kepada individu kumpulan B40.
Mempunyai minat, pengetahuan, serta kemahiran dalam bidang yang ingin diceburi.
Berkeupayaan mengusahakan projek (perniagaan) sepenuh masa.
Bersedia dan sanggup menghadiri sebarang jenis latihan atau kursus yang ditentukan oleh RISDA sebelum dan semasa mengusahakan projek. Ini termasuk dan tidak terhad kepada latihan atau kursus teknikal, kemahiran, kemantapan diri dan lain-lain.
Bagi penoreh, penoreh yang berdaftar dengan RISDA sahaja layak untuk memohon projek Laman Kebun (di bawah Bantuan Sara Hidup).

Buat pengetahuan anda, kadar bantuan yang diberikan untuk semua industri adalah sebanyak RM20,000 bagi setiap keluarga Pekebun Kecil. Bagi penerima AET sebelum tahun 2016, had maksimum bantuan tambahan ialah sebanyak RM10,000.

Proses Permohonan

Terdapat lima langkah utama dalam proses permohonan AET bagi melayakkan anda berada dalam Program Pembangunan Usahawan RISDA. Langkah-langkah permohonan AET ialah seperti berikut;

1. Menyediakan kertas kerja berdasarkan Format Kertas Kerja Projek AET
3. Mengisi Surat Akuan AET
4. Menghantar kesemua item di atas sama ada melalui pos atau secara berhadapan di pejabat RISDA daerah atau negeri berhampiran
5. Permohonan anda akan diteliti dan dinilai oleh badan bertanggungjawab
6. Sekiranya permohonan anda diterima, Surat Status Permohonan AET akan dihantar kepada anda berdasarkan alamat yang diberikan
7. Anda kemudian perlu mengisi dan menghantar Borang Setuju Terima Program AET bagi tujuan pengesahan
8. Pihak RISDA akan menghubungi anda untuk memaklumkan langkah seterusnya
Sekiranya anda mempunyai soalan lanjut mengenai AET, anda digalakkan menghubungi kami secara terus, layari laman web rasmi kami atau hadir ke pejabat RISDA berhampiran.

RISDA. (n.d.). Portal Rasmi RISDA – Pembangunan Usahawan. Risda. Retrieved August 12, 2022

RISDA. (2022). Pengenalan Program Pembangunan Usahawa

Top