Usahawan RISDA syukur dapat bantuan

SABAK BERNAM – Meskipun pernah ditipu dan mengalami kerugian ratusan ribu ringgit, namun itu bukan halangan seorang wanita untuk bangkit semula dalam perniagaan.

Siti Haniyah Sarmin, 43, menganggap semua yang dilaluinya itu sebagai asam garam dalam dunia perniagaan untuk lebih maju ke depan.

Menceritakan pengalamannya, Siti Haniyah memberitahu, segala-galanya bermula sebaik beliau berhenti kerja di sebuah agensi kerajaan untuk mengikuti kenalan berniaga.

“Pada mulanya semua indah, tetapi saya alami kerugian ratusan ribu semata-mata ingin capai impian dengan cepat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di Stadium Sungai Besar di sini pada Sabtu.

Menurut ibu tiga anak itu, walaupun dilanda kemurungan dan tekanan, namun tidak pernah sesekali putus asa dengan apa yang menimpanya.

Berbekal semangat dan dorongan suaminya, Mohd Fazli Abdul Kadir, 43, wanita yang menetap di Seksyen 7 Shah Alam itu tidak menunggu lama untuk memulakan perniagaan sendiri.

“Saya pernah jual kerepek, kerongsang dan barangan kraftangan dan langsir selama lima tahun di Pasar Tani Stadium Shah Alam.

“Bermula dari situ saya mula menyimpan duit untuk terlibat secara aktif dalam jahitan pakaian pada tahun 2013,” ujarnya.

Dia turut bersyukur apabila perniagaannya semakin berkembang apabila mendapat bimbingan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menerusi Program Pembangunan Usahawannya.

Katanya, bantuan menerusi aktiviti ekonomi perniagaan (AET) daripada RISDA diperoleh pada 2021 berjumlah RM10,000 itu digunakan dengan sebaik-baiknya.

“Sehingga kini, RISDA telah menyumbang sebanyak RM30,000 untuk tiga tahun berturut-turut bagi meningkatkan kemahiran dan mengembangkan perniagaan,” jelasnya.

Seorang lagi penerima bantuan RISDA, Norsham Sariyon, 62, berkata, hasil bantuan agensi kerajaan itu beliau kini dapat mengembangkan lagi perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Norsham yang mengusahakan perniagaannya di Kampung Bukit Hijau, Kuala Selangor memberitahu, perniagaan itu diusahkan bersama suaminya, Musa Hasan, 72.

“Saya bersyukur kerana terpilih menjadi usahawan di bawah bimbingan RISDA dan kini ia menjadi punca pendapatan kami sekeluarga.

“Sebelum menceburi dalam keusahawanan rempeyek dan makanan sejuk beku, saya dan suami menjahit pakaian.

“Alhamdulillah pendapatan usahawan IKS ini lebih baik lebih-lebih lagi ada bimbingan daripada RISDA,” jelasnya.

Buang Maruji, 64, dari Kampung Bukit Kerayong, Jeram berkata, perusahaan getah diusahakan di kawasan seluas 0.8 hektar telah merubah nasib keluarga.

Jelasnya, hasil bimbingan RISDA juga beliau menerima pelbagai manfaat menerusi bantuan baharu depo pemasaran lateks, baik pulih dan Program Skim Intensif Produktiviti Getah (SIPG) dan Program Skim Insentif Lateks (SIL).

“Saya berterima kasih kepada RISDA yang telah membantu meningkatkan pendapatan saya dari semasa ke semasa melalui pelbagai inisiatif bantuan,” kata beliau.

Seorang usahawan Orang Asli bimbingan RISDA, Zai Mokhtar, 35, berkata, meskipun baharu mengambil alih perusahaan getah daripada bapanya setahun lalu, namun RISDA menyalurkan bantuan tanam semula getah bernilai RM10,968.

“Sebagai anak muda, saya rasa lebih bersemangat untuk terus mengusahakan getah kerana pelbagai bantuan disediakan dan mahu melipatgandakan usaha untuk merubah kehidupan ke tahap lebih baik,” katanya yang menetap di Kampung Orang Asli, Ulu Kuang Hulu Selangor.

Berkongsi pengalaman sama, Paca Mahadi, 52, yang turut mengusahkan tanaman getah sejak berusia 12 tahun lagi.

“Saya rasa seronok untuk menanam getah, walaupun harga naik dan turun, tetapi paling penting RISDA sentiasa memberikan tunjuk ajar dan bantuan.

“Tahun lalu sahaja saya menerima RM6,855 untuk program tanam semula getah dan ia amat bermakna untuk kami sekeluarga apatah lagi saya mempunyai tanggungan anak bersekolah,” tambahnya.
Top