KUALA LUMPUR: Sepuluh bidang utama akan ditawarkan sebagai permulaan bagi pelaksanaan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khas untuk wanita.
Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata 10 bidang itu ialah Teknologi Maklumat; Keusahawanan; Teknologi Kejuruteraan; Kepimpinan dan Pengurusan; Pemasaran; Perkhidmatan Rumah; Perniagaan Luar Bandar; Pelancongan dan Hospitaliti; Teknologi Agro; dan Logistik.
Beliau berkata bidang yang difokuskan itu dilihat berupaya menarik minat golongan wanita untuk menyertai program khas berkenaan.
“Kita mempunyai pusat pengajian tinggi yang terlibat secara langsung dalam program ini seperti Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) di bawah Risda sendiri.
“Oleh itu, kita boleh menawarkan bidang TVET yang lebih tinggi dan luas berbanding apa yang ditawarkan dahulu,” katanya kepada Bernama.
Noraini berkata pihaknya sedang giat berbincang dengan beberapa agensi terlibat dengan menyasarkan selewat-lewatnya awal tahun hadapan untuk pelaksanaan program khas itu. Selain itu, beliau turut melahirkan keyakinan kuota 15,000 kemasukan ke program itu seperti yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bulan lepas akan dapat dipenuhi.
“UTeM telah merancang satu program komprehensif dan inklusif yang melibatkan pelbagai pihak dalam TVET seperti universiti awam, politeknik serta institusi latihan TVET seluruh Malaysia. UTeM juga sudah menubuhkan sebuah akademi TVET wanita bernama Jelita untuk menyelaras program khas ini diseluruh negara secara profesional.
“Dalam usaha menarik 15,000 wanita terlibat dalam program ini, kita telah merangka beberapa strategi promosi seperti menggunakan media sosial, karnival kerjaya dan beberapa program lain,” katanya.
Sementara itu, Sekretariat Profesional Wanita Umno berpandangan inisiatif program khas itu dapat membuka ruang kepada golongan wanita yang ingin menceburi bidang kolar biru yang selama ini sinonim dengan lelaki.
Setiausahanya Norbhaiti Sabar berkata ia juga boleh menjadi platform terbaik untuk wanita yang sudah lama tidak berkerjaya menceburi semula bidang pekerjaan.
“Kami sedia memberikan apa juga sokongan dalam bentuk tenaga dan pengalaman terhadap usaha ini memandangkan kami terdiri daripada ahli yang berlatarbelakangkan profesional seperti peguam, doktor dan pendidik.
“Sedikit sebanyak kami dapat berkongsi pengalaman dan menyumbang idea berkaitan usaha TVET ini,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ketika Perhimpunan Agung Umno 2023 bulan lepas mengumumkan kerajaan bersetuju mewujudkan program TVET khususuntuk wanita dengan pengambilan seramai 15,000 peserta. – Bernama