Kerajaan mengambil perhatian serius terhadap dakwaan kawasan tanaman getah yang tidak ditoreh membabitkan anggaran keluasan 420,000 hektar sehingga menjejaskan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar RM2.3 bilion.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata Lembaga Getah Malaysia (LGM) sedang mengambil tindakan untuk meneliti dan menentukan dengan tepat kawasan dan lokasi dinyatakan.
Dalam masa sama, beliau berkata, RISDA juga dalam proses menjalankan bancian bagi menentukan kawasan pekebun kecil yang tidak ditoreh.
“Data 420,000 hektar tidak bertoreh ini akan dikemas kini dan ditentukan dengan tepat,” katanya dalamjawapanbertulis yang disiarkan di laman web Parlimen semalam.
Beliau menjawab soalan di bangkitkan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) yang meminta kementerian menyatakan langkah proaktif diambil bagi menangani kerugian bernilai RM2.3 bilion KDNK apabila ladang berkeluasan 425,000 hektar di seluruh negara tidak menghasilkan komoditi berkenaan.
Mengulas lanjut langkah diambil kementerian, Johari berkata, pihaknya komited untuk menangani isu berbangkit secara bersepadu dengan cadangan melaksanakan model kluster dengan konsolidasi kawasan kepada saiz yang ekonomik.
Jelasnya, model kluster itu seperti mini estet yang pernah dilakukan suatu ketika dahulu.
“Kementerian dengan iltizam dan kesepakatan semua pemegang taruh dalam rantaian pengeluaran getah, peningkatan akan dapat direalisasi.
“Kementerian melalui model kluster yang akan dilaksanakan gaji tetap dan pelbagai kemudahan seperti perumahan serta pengangkutan akan disediakan bagi menarik minat golongan muda mengisi kekurangan penoreh dalam sektor huluan getah.
“Kerajaan berharap semua pemegang taruh akan terlibat dan dapat memainkan peranan masing-masing bagi menjayakan cadangan model kluster baharu ini dan akan meningkatkan pengeluaran getah negara,” katanya.