Suara Risda

Tanaman nanas perbaiki sosioekonomi pekebun kecil

Pengerusi Risda, Datuk Seri Mohd. Salim Mohd. Sharif menunjukkan kebun tanaman getah di Negeri Sembilan yang dikelolai oleh RISDA.

REMBAU: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) mengenal pasti tanaman nanas sebagai tanaman baharu yang mampu meningkatkan taraf sosioekonomi pekebun-pekebun kecil.

Pengerusi Risda, Datuk Seri Mohd. Salim Mohd. Sharif berkata, malah tanaman tersebut juga kini telah diusahakan oleh Koperasi Pekebun Kecil Negeri Sembilan di tanah seluas 3.64 hektar yang terletak di Pedas dekat sini.

Menurut beliau, pihak koperasi telah menanam sebanyak 140,000 pokok nanas dan dijangkakan dalam tempoh 18 bulan, nilai jualan yang bakal diperoleh koperasi bagi tanaman berkenaan boleh mencecah sehingga lebih RM500,000.

“Ini adalah salah satu yang Risda buat untuk pengeluaran makanan ataupun agromakanan. Sekiranya pekebun kecil hanya bersandarkan kepada harga getah sahaja, sudah pasti dengan pendapatan RM2.50 sekilogram tidak cukup untuk menyara hidup.

“Sekiranya betul-betul fokus dengan projek ini memang boleh mendatangkan keuntungan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penuaian Nanas MD2 Koperasi Pekebun Kecil Negeri Sembilan Bhd. di Kampung Anak Air Kundur, Pedas, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Koperasi Pekebun Kecil Negeri Sembilan Bhd., Datuk Aliasak Ambia dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris.

Sementara itu, Mohd. Salim berkata, Risda juga telah merancang dan menetapkan pelan tindakan baharu Program Pembangunan Hasil Baharu Agromakanan RISDA bagi memperbaiki ekonomi pekebun kecil melalui tiga bidang utama iaitu tanaman jangka pendek, tanaman jangka panjang dan ternakan.

“Pada tahun lalu, Risda telah memperuntukkan sebanyak RM655,000 bagi menggerakkan projek berkenaan di Negeri Sembilan dan pada tahun ini peruntukan berkenaan meningkat kepada RM1.8 juta.

“Risda kini sedang memfokuskan sumber makanan baharu yang boleh diketengahkan seperti tanaman halia dan fertigasi cili. Kami juga mengalu-alukan aktiviti tambahan anak-anak pekebun kecil yang berminat untuk menjadi usahawan ternakan atau pertanian asalkan mereka ini mempunyai kebun getah,” katanya.

Top