Suara Risda

Skim BMT Ditambahbaik, Beri Manfaat 232,000 Pekebun Kecil Getah

Penambahbaikan BMT itu manfaat kepada232,000 pekebun kecil getah RISDA di seluruh negara
Kuala Lumpur: Skim Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) bagi pekebun kecil getah di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan diberi penambahbaikan tidak lama lagi.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkara itu telah dipersetujui Kabinet dan perincian mengenainya akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Dah ada kelulusan dalam Kabinet iaitu Bantuan Musim Tengkujuh (untuk pekebun kecil getah, (tapi) biar Perdana Menteri umumkan nanti),” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar IPT Parlimen Padang Terap di Kuala Nerang, Kedah hari ini.

Menurut beliau, penambahbaikan BMT itu bakal memberi manfaat kepada kesemua 232,000 pekebun kecil getah RISDA di seluruh negara.

“Ketika ini pekebun kecil RISDA menerima BMT berjumlah RM300 sebulan untuk tempoh tiga bulan.

“Kementerian sebelum ini mengemukakan dua syor kepada Perdana Menteri bagi membela nasib pekebun kecil getah RISDA yang terkesan akibat harga getah yang rendah,” katanya.

Syor tersebut jelas Mahdzir, adalah bagi menaikkan harga lantai getah sekerap daripada harga semasa RM2.50 sekilogram atau melanjutkan tempoh BMT daripada tiga bulan kepada enam bulan.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, kebajikan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari kalangan anak muda Padang Terap akan terus diberi perhatian.

Serentak dengan itu, Mahdzir menyampaikan sumbangan berjumlah hampir RM150,000 kepada 385 anak-anak daerah berkenaan yang sedang menuntut di IPT swasta dan universiti awam (UA).

“Bantuan dalam bentuk wang tunai ini adalah inisiatif untuk meringankan beban kewangan pelajar dan juga keluarga mereka, khususnya kumpulan sasar iaitu golongan B40.

“Ia selaras dengan teras kedua konsep Keluarga Malaysia iaitu Kebersamaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa diberi keutamaan,” katanya.

Jelas Mahdzir, bantuan seumpama itu telah dimulakan sejak 2004 dan diteruskan setiap tahun bagi memastikan golongan pelajar terbabit tidak tercicir daripada menuntut ilmu.

“Hanya kejayaan dalam pendidikan sahajalah yang akan mengubah hidup individu dan keluarga mereka.

“Kerajaan akan sentiasa memberi sokongan dan pelbagai bantuan kepada setiap pelajar bagi memastikan mereka mampu mencipta kejayaan dan membawa keluar keluarga mereka dari kepompong kemiskinan,” katanya.

Selain bantuan kewangan tambah beliau, kerajaan menyediakan bantuan gajet menerusi Inisiatif PerantiSiswa yang sedang diagihkan kepada pelajar kumpulan B40 di seluruh negara.

“Bantuan yang disalurkan juga merangkumi pelajar di dalam dan luar negara, menerusi Elaun Sara Hidup (ESH) yang telah dinaikkan jumlahnya baru-baru ini,” katanya.
Top