Bantuan itu bakal memanfaatkan seramai 232,319 orang pekebun kecil dan penoreh getah yang mempunyai keluasan kebun getah antara 0.1 hingga 2.5 hektar. Pengerusi RISDA, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif berkata, bantuan itu khusus kepada pekebun kecil dan penoreh getah berkelayakan akan terjejas sumber pendapatan akibat musim tengkujuh nanti.
“Menerusi BMT ini, setiap penerima bantuan yang berkelayakan akan menerima sebanyak RM600 setiap seorang. BMT akan disalurkan sebanyak dua kali iaitu RM300 pada November dan baki RM300 pada Disember berikutan ketika itu adalah tempoh pekebun kecil paling terkesan akibat musim tengkujuh,” katanya.
Menurutnya, ketika musim tengkujuh nanti, pekebun kecil amat terkesan ketika musim tersebut kerana peristiwa itu menyebabkan mereka tidak boleh menoreh. “Jadi, dengan bantuan ini, walaupun tidak dapat menyelesaikan semua masalah mereka tetapi serba sedikit
dapat membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup terutama untuk membeli keperluan rumah.” “Justeru, diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban pekebun kecil dan penoreh getah yang terjejas sepanjang tempoh musim tengkujuh kelak dan menampung sebahagian kos hidup mereka,” katanya.
Selain BMT, pekebun kecil atau anak mereka juga boleh menjalankan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) yang diperuntukkan kepada mereka bagi menjana pendapatan tambahan.
Antara AET yang kini sudah dilaksanakan termasuklah aktiviti ternakan secara kecil-kecilan, membuat kek, spa, pelbagai jenis makanan daripada hasil yang diperoleh atau perniagaan secara dalam talian.
Mohd Salim berkata, peruntukan yang diberikan sebanyak RM10,000 hingga RM50,000 mengikut kepada kelayakan ini mampu membantu mereka memperluas lagi pendapatan mereka.
“Setakat hari ini, Risda sudah membelanjakan peruntukan sebanyak RM40 juta dan dapat membantu lebih kurang 4,000 anak pekebun kecil.”
“Kita melihat anak pekebun kecil untuk AET ini kerana ayah mereka sudah berusia dan ada sebahagiannya yang sudah tidak mampu untuk menoreh selain pendapatan yang diperoleh bekerja di kampung kurang. Jadi, dengan adanya AET ini, ia dapat menambahkan lagi pendapatan mereka. Inilah juga usaha Risda membantu mereka,” katanya.
Bagi memastikan golongan sasar menerima bantuan pada tempoh yang ditetapkan, permohonan BMT 2022 sudah dibuka pada bulan lalu dan akan berakhir pada 15 September hadapan.