KUALA LUMPUR: RISDA digesa membantu mencipta satu formula baharu dalam sektor perladangan getah untuk memastikan pekebun getah dapat memanfaatkan komoditi itu pada tahap maksimum.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kekangan yang timbul ketika ini ialah ketiadaan pekerja yang mahir untuk bekerja di sektor itu menyebabkan ia tidak dapat diusahakan dengan sepenuhnya.
Ahli Parlimen Pontian itu juga berkata, permintaan gaji dibayar dalam nisbah 50:50 antara pengusaha kebun dan pekerja juga disifatkan sebagai tidak adil kerana ia tidak memberi kelebihan kepada pengusahanya.
“Jika tidak dibayar 50:50, tak ada orang yang mahu menoreh. Pekerja dapat 50, tauke dapat 50.
“Pengalaman sebagai anak penoreh getah, tak ada formula sebegitu digunakan dalam pekerjaan lain di dunia ini. Jika nisbah 70:30 ada logiknya dan barulah kehidupan pengusaha itu akan lebih terjamin,” katanya dalam hantaran di laman X, hari ini.
Khamis lalu, BH melaporkan industri getah negara memerlukan kira-kira 70,000 ke 80,000 pekerja bagi menampung kekurangan sumber tenaga buruh dalam sektor berkenaan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata jumlah itu diperlukan bagi ditempatkan di kira-kira 420,000 hektar ladang pekebun kecil getah di negara ini yang tidak diusahakan berikutan kekurangan pekerja dalam sektor terbabit.
Akibatnya, Malaysia ‘kehilangan’ RM2.3 bilion nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berikutan 420,000 hektar ladang pekebun kecil getah tidak diusahakan kerana kekurangan pekerja dalam sektor berkenaan.