KUALA LUMPUR: RISDA terbuka untuk memanfaatkan golongan pelarian berdaftar di bawah Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) sebagai tenaga kerja dalam sektor getah di negara ini.
Namun, Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib, berkata cadangan itu perlu diteliti bersama Wisma Putra dan pihak berkaitan bagi memastikan tiada sebarang isu berbangkit, terutama aspek kedaulatan negara.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, pihaknya pada dasarnya terbuka untuk menggajikan mana-mana pihak yang boleh menjana keuntungan dan faedah kepada organisasi berkenaan.
“Sebagai pemain industri, selagi ia memberi keuntungan dan faedah kepada RISDA, kita akan beri (kelonggaran menggajikan golongan pelarian UNHCR sebagai tenaga kerja sektor getah).
“Bagaimanapun, kita juga perlu menitikberatkan isu kedaulatan negara. Justeru, pelaksanaannya perlu diteliti supaya ia baik untuk industri dan negara,” katanya pada sidang media Majlis Amanat Pengerusi RISDA di sini, hari ini.
Beliau mengulas kaji selidik Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang mengesyorkan masalah kekurangan tenaga buruh di negara ini boleh diatasi dengan membenarkan pelarian berdaftar di bawah Pesuruhjaya Tinggi UNHCR bekerja dalam sektor terbabit.
Kaji selidik dijalankan Prof Madya Dr Rosli Said dari UM dan Prof Madya Dr Rohayu Ab Majid dari UiTM mendapati seramai 99,702 pelarian di sekitar Lembah Klang, berdasarkan data UNHCR pada 2021.
Sementara itu, Manndzri berkata, RISDA mengalami kerugian bernilai RM2.3 bilion nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) apabila ladang getah berkeluasan 425,000 hektar di seluruh negara tidak menghasilkan komoditi berkenaan.
Katanya, ia berpunca akibat sikap pemilik ladang enggan menoreh getah berikutan penurunan ketara harga komoditi berkenaan, biarpun terdapat pelbagai kemudahan disediakan kepada mereka.
Justeru, beliau mencadangkan supaya RISDA mendapatkan persefahaman semua pemilik ladang terbabit untuk diusahakan secara estet bagi mewujudkan penyelesaian menang-menang bagi semua pihak.
“Kita cuba (selesaikan isu produktiviti) 100,000 hektar dahulu. Pengarah negeri boleh berbincang dan kenal pasti 100,000 hektar pertama yang akan diuruskan secara estet pada peringkat permulaan, tahun ini.
“Selain itu, jawatankuasa khas perlu ditubuhkan bagi menangani isu ini kerana ia membabitkan kos dan pelbagai aspek lain.
“Jika isu ini tidak diatasi secara menyeluruh, kita khuatir keluasan ladang getah di seluruh negara akan menguncup kerana pemilik beralih kepada tanaman lain,” katanya.
Ketika ini, katanya, RISDA menguruskan 80 peratus daripada keseluruhan ladang getah di negara ini.
“Saya ada berbincang supaya selepas ini jika kita urus (ladang getah tidak ditoreh) secara estet, kalau individu terbabit toreh (pokok) dia akan menoreh sahaja.
“Ramai kurang berminat sebab orang sama buat semua kerja dari awal hingga angkut getah untuk ditimbang. Justeru, lebih baik kita buat pengkhususan tenaga kerja,” katanya.