Suara Risda

RISDA sediakan bantuan usahawan dan agromakanan, galak tanam getah

RISDA sediakan bantuan usahawan dan agromakanan, galak tanam getah

GERIK – Pihak Berkuasa Kemajuan Perusahaan Kecil Getah (RISDA) memperuntukkan RM666.9 juta bagi melaksanakan program pembangunan penanaman semula getah di seluruh negara tahun ini.

Peruntukan itu meliputi program yang lebih komprehensif dengan tambahan inisiatif keusahawanan dan agromakanan bagi menggalakkan usaha penanaman.

Di bawah program itu, RISDA menawarkan nilai yang amat signifikan bagi setiap hektar iaitu sebanyak RM13,710 di semenanjung, RM14,805 di Sarawak dan RM14,955 di Sabah.

Pengerusi RISDA, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, gerakan Kempen Tanam Semula atau dikenali dengan (TS ) itu usaha terbaik bagi memastikan agenda pembangunan penanaman getah dapat terus dirancakkan.

Menurut beliau, isitimewanya program RISDA itu tidak hanya tertumpu kepada warga pekebun kecil getah sahaja, tetapi terbuka kepada seluruh masyarakat yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada warga pekebun kecil RISDA.

“Di Perak sahaja, RISDA negeri tahun ini telah melaksanakan program tanam semula getah dengan nilai RM4.68 juta melibatkan kawasan seluas 671.23 hektar,” katanya ketika merasmikan Karnival Usahawan RISDA (KUR) dan Pelancaran Kempen Tanam Semula (TS ) RISDA peringkat negeri Perak di Arena Gerik dekat sini pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) RISDA, Ahmad Zainal Abdullah.

Top