SABAK BERNAM: Lebih 12,000 batang pokok getah dalam ladang seluas 25 hektar kini diusahakan oleh seorang pengusaha dari Kampung Orang Asli Ulu Kuang setelah menerima pelbagai bantuan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).
Pengusahanya, Zai Mokta, 35, berkata, bantuan Risda itu ternyata telah melonjakkan pengeluaran getahnya dengan drastik.
Menurutnya, ladang yang sudah diusahakan oleh tiga generasinya itu dahulu berdepan pelbagai masalah seperti benih tidak berkualiti, pokok getah cepat tua dan tiada rawatan terhadap serangan penyakit.
“Ayah saya mula-mula menerima bantuan Risda. Ketika itu. Risda beri bantuan mesin proses getah, baja dan rawatan pokok. Benih kami beli sendiri, jadi selalu dapat yang tak berkualiti.
“Bantuan berterusan Risda membolehkan kami meneruskan perusahaan getah ini, malah baru-baru ini juga Risda menghulurkan bantuan musim tengkujuh sebanyak RM800,” katanya yang menerima peruntukan Program Pembangunan Risda Selangor 2023 bernilai RM3.03juta pada Program Sentuhan Kasih Desa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Sabtu lalu.
Selain bantuan kepada pekebun getah, Risda juga menyediakan pelbagai kemudahan bantuan seperti MySpark, MySpark Advance, kursus asas keusahawanan, prinsip perniagaan, pembangunan produk dan Risda Groom Big Challenge (RGBC).
Antara penerimanya adalah Siti Haniyah Sarmin, 43, yanjg menerima sumbangan Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET), Pembangunan Usahawan Dan Agromakanan Risda Selangor 2023 bernilai RM1.95juta.
Beliau yang mengusahakan perusahaan jahitan sejak2013 kini mampu menghasilkan produk seperti anak tudung dan pakaian dalam lebih 1;000 helai sehari berbanding400 helai sebelum menerima bantuan Risda.
“Sebelum terima Bantuan Risda, usaha saya tersekat di tahap sama dan sukar menembusi pasaran lebih baik.
“Kemudian dengan bimbingan Risda dan geran diberikan, saya dapat pecahkan kebuntuan dan meningkatkan jualan daripada RM10.000 sebulan kepada sekitar RM30.000 hingga RM40.000 sebulan. Malah saya juga memberi pendapatan sampingan kepada suri rumah yang mahu menjahit di rumah,” ujarnya.
Turut menerima bantuan Risda adalah Norsham Sariyon, 62, yang menyertai program ‘Risda Perkasa Usahawan Wanita’ bagi merancakkan pengeluaran kuih sejuk beku dan rempeyek.
“Banyak bantuan yang diberikan Risda seperti bantuan peralatan seperti mesin untuk buat kuih berjumlah RM20.000, bungkusan dan label serta panduan mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Norsham yang menerima bantuan Program Pengembangan Risda Selangor 2023 sebanyak RM746.464 berkata, selepas menerima bantuan Risda, dia dapat meningkatkan hasil jualan daripada sekitar RM1.000 sebulan kepada RM4.000 sebulan.