RISDA proaktif sedia bantuan bangunkan pekebun kecil

RISDA proaktif sedia bantuan bangunkan pekebun kecil

REMBAU – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sentiasa menjadi agensi kerajaan yang proaktif dalam menyediakan pelbagai bantuan kepada pembangunan komuniti luar bandar khususnya para pekebun kecil.

Demikian ditegaskan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang yang turut menyatakan RISDA telah bersama masyarakat luar bandar terutamanya komuniti pekebun kecil sejak ditubuhkan 50 tahun lalu.

“Ia (para pekebun kecil) menunjukkan betapa pentingnya komuniti ini bagi menyokong sektor industri pengeluaran hasil getah kepada pembangunan ekonomi negara.

“Oleh itu, RISDA sentiasa proaktif membantu komuniti ini dan melalui bantuan Program Tanam Semula Getah sebagai program utamanya, RISDA menyediakan pelbagai program sokongan bagi memastikan peserta dan penerima bantuan dapat lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pekebun Kecil Makmur peringkat RISDA Negeri Sembilan di Dewan Serbaguna Kampung Gadong di sini pada Selasa.

Pada majlis sama, Rubiah turut menyampaikan bantuan pembangunan RISDA Peringkat Negeri Sembilan bagi tahun 2023 membabitkan jumlah sebanyak RM 11.2 juta bagi Program Tanam Semula Getah manakala Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) sebanyak RM3.5 juta dan RM1.91 juta bagi Program Agromakanan.

Sebelum itu beliau melawat tiga projek yang dilaksanakan oleh usahawan di bawah bimbingan RISDA iaitu projek daging salai, bahulu dan tanaman rumput napier yang diusahakan di sekitar kawasan berhampiran di sini.

Dalam pada itu, Rubiah berkata, melalui tema “Bersama Membina Pekebun Kecil Makmur”, RISDA telah mewujudkan satu bentuk program yang dijenamakan sebagai Program Pekebun Kecil Makmur yang menghimpunkan warga pekebun kecil getah bagi mendapatkan informasi berkenaan kempen pembangunan RISDA.

“Antara penekanan di bawah Jejak Kebun Tertahan, Peningkatan Hasil, Rawatan Penyakit Luruhan Daun, Tenaga Kerja Pekebun Kecil (TKPK) RISDA serta lain-lain kempen program pembangunan RISDA.

“Selaras dengan penekanan itu, RISDA sentiasa mengharapkan agar hubungan baik dengan komuniti pekebun kecil yang telah terjalin sekian lama sentiasa terpelihara dan bukan bersifat sementara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rubiah berkata, setakat ini, antara inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan dalam membantu pekebun kecil getah adalah menaikkan harga lantai getah kepada RM2.70 sekilogram.

“Selain itu, sebanyak RM800 Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) turut disediakan pada tahun ini yang akan disalurkan kepada penerima yang layak mulai bulan November 2023,” katanya.

Top