Suara Risda

RISDA peruntuk RM800,000 setahun bantu pendidikan anak pekebun kecil

Mahdzir menerima Sumbangan Dana Pendidikan Yayasan RISDA-UCAM untuk membantu anak pekebun kecil.

ALOR GAJAH: RISDA memperuntukkan RM800,000 menerusi Skim Bantuan Pendidikan Yayasan RISDA tahun ini bagi memastikan kelancaran pengajian dan pembelajaran pelajar dalam kalangan anak komunitinya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata dana itu meliputi Skim Insentif Pelajar RM500 secara one-off, Bantuan Sara Hidup Pelajar RM450 sebulan sepanjang pengajian dan Biasiswa Pelajar RM6,800 hingga RM13,800 setahun kepada pelajar Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM).

Katanya, RISDA menerusi yayasan sama turut menyediakan Skim Bantuan komputer riba UCAM secara one-off dan Anugerah Yayasan RISDA berbentuk dermasiswa bernilai RM2,000 kepada pelajar cemerlang yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif 3.5 ke atas.

“Saya yakin dengan inisiatif disediakan ini ia dapat menjadi pemangkin kepada generasi muda anak pekebun kecil RISDA untuk terus menyambung pelajaran ke tahap lebih tinggi serta dapat membantu dalam melancarkan pengajian mereka di UCAM.

“Tahniah saya ucapkan kepada RISDA di atas sumbangan bagi memastikan peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan masyarakat luar bandar terus terpelihara melalui bidang pendidikan,” katanya dalam ucaptama ketika mengadakan lawatan ke UCAM di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif, EXCO Pendidikan dan Teknologi Melaka, Datuk Rais Yasin dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal.

Mahdzir berkata, RISDA memfokuskan bidang pendidikan sejak 65 tahun lalu melalui pelbagai evolusi selaras perkembangan sistem pendidikan dan keperluan tenaga kerja dalam sektor pertanian negara, khususnya perladangan getah.

“Bermula dengan Sekolah Latihan Getah pada 1957, RISDA kini mempunyai UCAM yang menjadi satu-satunya Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), khusus dalam bidang pertanian.

“Saya difahamkan UCAM setakat ini sudah melahirkan lebih 10,000 graduan yang bukan hanya berkhidmat dalam agensi pertanian dan perladangan kerajaan serta swasta, malah tidak kurangnya ada yang kini bergelar usahawan dan jutawan,” katanya.

Pada majlis sama, Mahdzir turut menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara UCAM dan tiga rakan industri iaitu GrasiCili Plt, Uwais Cendawan Agrotech Enterprise dan Bitara Emas (M) Sdn Bhd.

MoU itu berkaitan program latihan industri dan penempatan kerja graduan UCAM, latihan profesional, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kerjasama komersial bagi melahirkan sumber keperluan tenaga kompeten yang dapat memenuhi kehendak majikan dan industri.

Top