Telok Mas: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan RM2.39 juta bagi Program Tanaman Semula Pokok Getah di Melaka melibatkan tanah seluas 1,739.8 hektar di daerah Alor Gajah dan Jasin.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata program yang dilaksana secara berperingkat itu juga membabitkan 1,392 pekebun kecil.
Katanya, masa ini adalah paling sesuai untuk melaksana program penanaman semula pokok getah di negeri itu berikutan kebanyakan pokok berkenaan sudah berusia lebih 30 tahun.
“Penanaman semula ini yang penting adalah ahli pekebun kecil di bawah RISDA dan kita beri bantuan untuk tanaman semula ini lebih 13,000 untuk satu ekar satu hektar.
Tetapi kita salur secara berperingkat, kita bukan beri wang tunai, tetapi contohnya kita beri daripada segi pembersihan sehinggalah tanaman ini, semua RISDA akan uruskan dan kita akan bantu,” kata Abdul Razak di sini.
Dalam pada itu, Datuk Abdul Razak berkata, kerajaan negeri menyasarkan lebih 20 peratus petani di negeri ini akan beralih kepada pertanian moden dengan menggunakan teknologi terkini dalam tempoh lima tahun akan datang.