Suara Risda

RISDA perkasa pekebun kecil

SUNGAI PETANI – Bantuan yang disediakan menerusi Program Pembangunan Usahawan dan Agromakanan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memberikan manfaat kepada usahawan terutamanya generasi muda pekebun kecil. Seorang usahawan muda, Ainol Zulkarnain Zainal Abidin, 38, yang mengusahakan produk minuman cafe dan RTD kopi di Sungai Petani menerima bantuan aktiviti ekonomi tambahan (AET) RISDA bernilai RM20,000 pada 2021 bagi mengembangkan lagi perniagaannya. Pemilik Koloni Biggy Sdn Bhd ini seterusnya menerima bantuan pembungkusan sebanyak RM10,000 pada 2022 dan bantuan Groom Big RM50,000 daripada RISDA pada 2023. ”Bantuan berupa aset mesin daripada RISDA ini memang sangat membantu kami sebagai usahawan minuman kopi untuk mengembangkan lagi perniagaan yang telah diusahakan sejak 2019. ”Pegawai daripada agensi ini memang banyak membantu saya daripada nasihat dan sebagainya. Anak muda yang mahu ceburi bidang perniagaan wajar mendapatkan nasihat daripada agensi kerajaan kerana banyak bantuan yang disediakan,” katanya semasa ditemui Program Sentuhan Kasih Mini Karnival Usahawan Desa @ Sungai Petani, dekat sini pada Sabtu. Ainol Zulkarnain yang memperoleh pendapatan sekitar RM10,000 sebulan juga merupakan penerima Anugerah Unggul RISDA Kuala Muda, Yan dan Pendang pada tahun 2022. Perkara sama turut dikongsi oleh usahawan makanan aiskrim, coconut shake dan donut, Nor Afza Zulkifli, 35, yang berterima kasih kepada bantuan RISDA apabila berjaya menaiktaraf perniagaan bermula di tepi jalan dan kini berniaga di outlet kedai. Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia ini menerima bantuan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) bernilai RM20,000 pada tahun 2021 dan 2023 manakala bantuan pembungkusan sebanyak RM10,000 pada 2023. ”Saya meniaga sejak tahun 2019 di tepi jalan dan dengan bantuan RISDA, saya berjaya menaiktaraf perniagaan dan pendapatan juga meningkat. Hasil bantuan mesin yang diterima. RISDA turut menghantar saya menghadiri kursus untuk faham lagi selok-belok perniagaan,” ujar ibu kepada dua cahaya mata yang memperoleh pendapatan sekitar RM15,000 sebulan. Sementara itu, bagi pengusaha projek tanaman cendawan melalui bantuan Program Agromakanan RISDA, Muhammad Nabeel Muhamad Rasheed, 28, bantuan dua buah mesin bernilai RM20,000 daripada RISDA pada tahun 2023 berjaya membantu memendekkan masa menghasilkan 1,000 bongkah cendawan dalam tempoh dua hari ini. Sebelum ini pemegang sijil Diploma ini mengusahakan secara manual pada 2019 dengan menghasilkan 800 bongkah dalam tempoh lebih seminggu di rumah neneknya di Tikam Batu, dekat sini. ”Saya tahu tentang bantuan RISDA ini dari kenalan dan mula mohon bantuan mesin pada Februari lalu dan tidak menyangka dapat kelulusan segera. Sebelum ini ada mohon bantuan agensi lain tapi tidak dapat,” katanya yang memperoleh pendapatan bulanan sekitar RM7,500. Sebarang inisiatif yang disediakan RISDA boleh dilayari di laman sesawang www.suararisda.my.
Top