Suara Risda

RISDA Memperuntuk RM33.6 Juta Untuk Tanam Semula Getah Di Limbang, Lawas

Dr Abdul Rahman (dua kanan) menyerahkan bakul makanan kepada salah seorang penerima, turut kelihatan Hasbi dan Shaharuddin (kanan).
LIMBANG: Kerajaan melalui RISDA membelanjakan RM33.6 juta untuk Program Tanam Semula Getah untuk kebun bahagian Limbang melibatkan daerah Limbang dan Lawas.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, Program Tanam Semula Getah Berturut bagi daerah Limbang sahaja melibatkan keluasan 951.1263 hektar dengan peruntukan RM12.7 juta.

“Bagi tahun 2022, Program Tanam Semula Getah Semasa, RISDA Bahagian Limbang juga menerima permohonan tanam semula getah seluas 250 hektar meliputi daerah Limbang dan Lawas dengan peruntukan sebanyak RM2 juta.

“Bagi daerah Limbang, Program Tanam Semula Getah Semasa adalah berkeluasan 150 hektar dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Pekebun Kecil Makmur Peringkat RISDA Bahagian Limbang 2022 di Dewan Kampung Pahlawan di sini, hari ini.

Turut hadir calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Residen Bahagian Limbang Jamalie Busri dan Pengarah RISDA Negeri Sarawak Shaharuddin Saberi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu berkata lagi, Program Tanam Semula Getah Berturut individu telah dilaksanakan di Kampung Pahlawan melibatkan 10 pekebun kecil dengan keluasan 10.1741 hektar dengan jumlah bantuan setakat ini RM137,350 yang diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

“Jika dilihat pada statistik, permohonan tanam semula di Kampung Pahlawan amatlah rendah dan menjadi satu kerugian jika pekebun kecil tidak merebut peluang ini kerana bantuan yang diberikan pihak RISDA adalah percuma,” ujarnya.

Selain itu katanya, RISDA juga membantu pekebun kecil atau ahli isi rumah (AIR) yang menceburi bidang keusahawanan untuk mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi dengan menyediakan bantuan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET). 

“RISDA Bahagian Limbang telah melahirkan 89 usahawan meliputi usahawan daerah Limbang dan Lawas dengan peruntukan sebanyak RM954,529.

“Bagi daerah Limbang, 24 usahawan telah mendapat bimbingan dengan peruntukan yang diterima sebanyak RM244,100,” katanya.

Dr Abdul Rahman berkata lagi, bagi tahun 2022 RISDA Bahagian Limbang telah menerima penyertaan seramai 26 usahawan di bawah program AET dengan peruntukan sebanyak RM310,000 meliputi daerah Limbang dan Lawas. 

“Bagi daerah Limbang sahaja, seramai 17 usahawan telah menerima AET dengan peruntukan sebanyak RM210,000,” tambahnya.

Beliau turut memberitahu, dua usahawan dari Kampung Pahlawan telah mengikuti program keusahawanan dalam bidang peruncitan dan kuih-muih.

“Pada tahun 2022, pertambahan dua usahawan menyertai program keusahawanan dalam bidang peruncitan dan madu kelulut.

“Ini menjadikan keseluruhan usahawan bimbingan RISDA di Kampung Pahlawan seramai empat orang dengan peruntukan yang telah dibelanjakan RM40,000,” katanya.
Top