BANGI: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sentiasa memantau situasi masyarakat pekebun kecil dalam usaha meningkatkan kemakmuran dan kesejahteraan mereka.
Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal berkata, usaha itu termasuk ketika para pekebun berhadapan dengan cabaran harga getah yang kurang stabil, serangan penyakit dan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Malah katanya, mereka juga peka dengan kurangnya minat golongan muda dalam menceburi industri getah.
“Sedangkan sektor pekebun kecil getah menyumbang kira-kira 86 peratus daripada keseluruhan pengeluaran getah asli negara pada masa ini,” katanya kelmarin ketika berucap pada majlis penutup Seminar Halatuju Pekebun Kecil Getah Negara di sini kelmarin.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi RISDA, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Sementara itu, Abdullah berkata, komitmen RISDA tersebut turut diterjemahkan melalui kolaborasi bersama pelbagai institusi pakar dalam industri getah melalui seminar tiga hari yang diadakan itu.
Tambahnya, ia juga merupakan inisiatif Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui RISDA dalam merancakkan semula hasil pengeluaran getah asli dengan mengambil kira faktor dan cabaran semasa industri getah negara.
“RISDA buat masa ini menyediakan program bantuan kepada pekebun kecil melalui Program Tanam Semula sebagai program utama di samping pelbagai program sokongan dalam pening- katan ekonomi.
Katanya, Program Tanam Semula getah itu turut menyediakan banyak bantuan lain bagi membantu pekebun kecil seperti tabung khairat kematian.
“Bantuan-bantuan ini akan memanfaatkan pekebun kecil terutamanya dan sebagai insentif untuk menarik anak-anak muda untuk terus terlibat dalam industri getah di samping meningkatkan semula industri getah,” katanya.
Mengulas lanjut Abdullah berkata, RISDA turut menyediakan program sokongan seperti Prasarana Asas Pertanian dan Bantuan Tabung Pelancaran.
“Ia adalah bagi memastikan objektif utama RISDA iaitu pekebun kecil getah memperoleh RM4.500 sebulan sekeluarga menjelang tahun 2025,” ujarnya.
Ahmad Zainal berkata, Prasarana Asas Pertanian itu akan membantu pekebun-pekebun kecil dengan menyediakan infrastruktur pertanian seperti jalan pertanian, jambatan, parit dan pagar untuk kegunaan mereka.