Pengenalan pelbagai inisiatif oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) membuktikan betapa caknanya agensi berkenaan mengenai nasib para pekebun kecil di negara ini.
Sikap itu dibuktikan apabila RISDA menyalurkan bantuan sebanyak RM39.5 juta pada tahun ini dalam usaha membantu meningkatkan lagi produktiviti dan kemampanan pekebun kecil.
Pengerusinya, Manndzri Nasib berkata, jumlah tersebut menyerlahkan kesungguhan dan komitmen RISDA mengukuhkan lagi perkembangan dan daya saing industri getah negara menerusi program Peningkatan Produktiviti Getah (PROGET), Peningkatan Produktiviti Lateks (PROTEKS) serta Pemulihan Getah Terbiar.
Menurutnya, PROGET menerima peruntukan terbesar dengan nilai berjumlah RM 22.96 juta diikuti PROTEKS (RM1.61 juta) dan Pemulihan Getah Terbiar (RM15 juta).
“Bagi pekebun kecil yang sedang menghasilkan getah jenis skrap tahun ini melalui PROGET, kami tawarkan bantuan dalam komponen baja, racun, set torehan dan lain-lain dengan nilai RM10,500 di semenanjung manakala Sabah dan Sarawak RM 11,500 bagi tempoh lima tahun setelah selesai bantuan utama penanaman getah.
“Bagi PROTEKS, pekebun kecil yang mengeluarkan lateks, RISDA menawarkan bantuan bernilai RM14,500 bagi tempoh lima tahun setelah selesai bantuan utama penanaman getah. Di bawah PROTEKS kita melakukan tiga penambahbaikan menerusi pengenalan Insentif Pengeluaran Lateks (INTEKS), Insentif Galakan Tenaga Kerja Lateks (G-TEKS) dan Geran Pemasaran Lateks (GPL),” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke negeri ini baru-baru ini.
AET ubah pekebun jadi usahawan
Melalui Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET), RISDA bukan sahaja membantu para pekebun meningkatkan pendapatan malah berjaya menjadikan mereka sebagai usahawan baharu yang mampu menongkah arus seterusnya bersaing kukuh di pasaran bersama kelompok sedia ada.
Perkara itu diakui sendiri oleh Manndzri apabila ada dalam kalangan 16,000 usahawan bimbingan RISDA telah bergelar jutawan menerusi empat bidang perniagaan iaitu perkhidmatan, makanan, pembuatan dan pertanian.
“Sebagai contoh, tiga individu yang telah bergelar usahawan bimbingan RISDA menerusi bantuan AET iaitu Nur Izzatie Zulkifli, 29, (pengusaha kelulut), Muhammad Asyraf Muhammad Amin, 24, (pertukangan kayu) dan Ahmad Asyraf Hakimi, 33, (kerepek).
“Berkat bimbangan RISDA, kesemua mereka sudah mampu menjana pendapatan sebanyak lima angka setiap bulan. Pencapaian ini selaras dengan Model Perancangan Strategik RISDA (MPSR) 2021-2025,” katanya.
Ujarnya, pelaksanaan AET itu dilihat telah memberi impak positif apabila keluarga pekebun kecil mampu meningkatkan pendapatan bulanan mereka melalui aktiviti perniagaan serta keusahawanan.
Madu kelulut tembusi pasaran antarabangsa
Sementara itu, Nur Izzatie yang mengusahakan madu kelulut di Kampung Membatu, Ketereh, di sini meluahkan rasa bangga apabila produknya berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti Jordan, Arab Saudi, Jepun, Brunei dan Indonesia.
“Saya berterima kasih kepada RISDA di atas sokongan dan bantuan yang dihulurkan. Tanpa bantuan seperti dana berjumlah RM10,000, latihan, bimbingan dan pemasaran termasuk pensijilan halal, saya mungkin tidak akan berada pada tahap ini,” katanya.
Bekas jurutera jadi usahawan kerepek
Bagi meneruskan legasi perniagaan yang diusahakan oleh ibunya sejak 24 tahun lalu, Ahmad Asyraf Hakimi, 33, pula sanggup mengambil risiko meninggalkan kerjaya sebagai jurutera.
Manndzri Nasib (kanan) bersama pengusaha kerepek ubi kayu semasa mengadakan lawatan ke atas usahawan bimbingan RISDA di Pasir Puteh, Kelantan. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Tuah nyata berpihak kepada Ahmad Asyraf apabila tindakan ‘berani matinya’ itu membuahkan hasil dan sudah mempunyai 11 jenis produk berkat tunjuk ajar dan bantuan RISDA menerusi AET.
“Pada peringkat awal ibu menghasilkan kerepek ikan bilis dan kuih buah rotan secara kecil-kecilan di rumah. Saya ambil alih pada tahun 2016 dan perniagaan ini semakin berkembang hasil bantuan RISDA.
“Lebih membanggakan lagi dengan bantuan RISDA produk saya yang dikeluarkan menerusi ZS Maju Products telah diperkenalkan kepada masyarakat Jepun dan Turkiye,” ujarnya yang menetap di Kampung Panggong, Pasir Puteh
Raih pendapatan lima angka sebulan
Sementara itu Muhammad Asyraf Muhammad Amin, 24, dari Kampung Bendang, Ketereh yang mengusahakan perniagaan pertukangan kayu mendedahkan dia mampu meraih pendapatan lima angka hasil bantuan RISDA.
MANNDZRI Nasib (dua kiri) diberi penerangan semasa melakukan tinjauan ke bengkel kayu yang diusahakan oleh Muhammad Asyraf Muhammad Amin di Kampung Bendang, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Katanya, bantuan RISDA menerusi AET amat membantu untuk memulakan perniagaan pada peringkat awal.
“Berkat bimbangan RISDA saya bukan sahaja meraih pendapatan lumayan malah mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” ujarnya.
RISDA bina masjid RM1.26 juta
Dalam pada itu, buat julung kalinya selepas 51 tahun ditubuhkan oleh kerajaan, RISDA berjaya melaksanakan tanggungjawab yang diberikan oleh pihak kerajaan apabila berjaya menyempurnakan pembinaan Masjid As-Syakirin di Sekolah Kebangsaan Agama (SMKA) Melor di sini.
Masjid bernilai RM1.26 juta itu menjadi mercu tanda baharu di SMKA Melor sekali gus merancakkan lagi program kerohanian dan penyebaran ilmu dalam kalangan pelajar sekolah berkenaan.
Manndzri berkata, kejayaan itu merupakan satu penghormatan tertinggi untuk agensi berkenaan sepanjang 50 tahun penubuhan.
“Ini kali pertama RISDA terlibat secara langsung dalam pembinaan masjid atau surau. Untuk makluman semua, kami berbeza dengan Felda, hal ini kerana agensi berkenaan membina masjid di kawasan tanah rancangan milik mereka.
“Sebaliknya, kami hanya menguruskan pekebun dan tidak terikat membuka penempatan untuk orang ramai,” katanya.