Kuala Lumpur: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bercadang menstruktur semula semua anak syarikat di bawah RISDA Holdings, dalam usaha melahirkan usahawan dalam kalangan kakitangannya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata penstrukturan itu antara transformasi yang perlu dilaksanakan bagi memberi nilai tambah kepada RISDA.
“Ini adalah entiti perniagaan kepada RISDA yang kita lihat jika ada syarikat di bawah RI- SDA Holdings itu, boleh distruktur semula untuk mewujudkan usahawan dalam kalangan pegawai dan kakitangan syarikat. “Ini dilihat cara terbaik iaitu memberikan peluang kepada mereka untuk menguruskan sendiri (anak syarikat) dengan kaedah ‘management buyout MBO’ (pengambilalihan oleh pengurusan),” katanya selepas menghadiri taklimat di ibu pejabat RISDA, semalam.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah,berkata sekiranya penstrukturan itu dilaksanakan, ia bukan sahaja dapat melahirkan lebih ramai usahawan, malah berupaya mengurangkan kos operasi bagi syarikat berkenaan.
“Yang penting bukan banyaknya syarikat, sebaliknya syarikat itu mesti melaksanakan perniagaan teras dalam industri getah atau kepada perkara yang boleh memberikan sumbangan kepada RISDA.
“Pada hemat saya, suatu hari nanti bajet daripada kerajaan dapat dikurangkan tetapi keun- tungan daripada urus niaga RISDA Holdings dan anak syarikatnya, dapat membantu pekebun kecil dan penoreh getah yang tidak memiliki tanah,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, persoalan yang harus didukung bersama oleh pegawai di kementeriannya serta RISDA ialah bagaimana transformasi kepada RISDA dan RISDA Holdings dapat direalisasikan.
“Kita harus melihat ada aspek baharu yang harus kita kemas kini terutama bagaimanakah getah terus menjadi bahan untuk industri berkaitan kerana kini terdapat persaingan dengan getah tiruan.
“Daripada situ kita harus melihat bahawa getah bukan satu komoditi yang dipanggil sebagai industri yang malap, tetapi kita mesti melakukan transformasi supaya bahan getah asli ini menjadi industri yang bersinar.
“Dalam keadaan itu juga, kita lihat matlamat menjadikan pekebun kecil mempunyai pendapatan melebihi RM4,500 per isi rumah (sebulan), adalah matlamat yang baik,” katanya.