Suara Risda

RISDA bina masjid RM1.26 juta di SMK Agama Melor

Isi Kandungan

PihakBerkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyempurnakan pembinaan Masjid As-Syakirin bernilai RM1.26 juta di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Melor di sini. 

Pembinaan masjid menerusi peruntukan RM1.26 juta disalurkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi itu siap  sepenuhnya pada 13 Mac lalu. 

Pengerusinya, Manndzri Nasib berkata, projek tersebut merupakan rumah ibadah pertama dilaksanakan RISDA di negara ini 

“Waktu itu, kami berada di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. Jadi mereka (Kementerian Hal Ehwal Ekonomi) mengarahkan RISDA menjadi agensi pelaksana. 

“Kali ini kami berada di bawah Kementerian Kemajuan Desa Bandar dan Wilayah,” katanya ditemui ketika Majlis Perasmian Masjid As-Syakirin pada Sabtu. Hadir sama Pengetua SMK Agama Melor, Ab Raisham Ab Rashid. 

Menurut Manndzri, sepanjang 50 tahun lalu, RISDA tidak pernah berbuat demikian iaitu terlibat dalam pembinaan seperti ini 

Jelas beliau, RISDA berbeza dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) apabila agensi itu membina semua masjid di tanah rancangan milik mereka. 

“Kami hanya uruskan pekebun, tidak terikat membuka penempatan dan pembinaan ini merupakan satu penghormatan kepada RISDA,” katanya. 

Tambah beliau, RISDA sedia menggalas tanggungjawab jika diberikan kepercayaan selepas ini. 

“Saya difahamkan masjid ini dalam satu-satu masa boleh memuatkan 800 jemaah berbanding 250 sebelum ini. 

“Bila ada kemudahan seperti ini, lebih banyak program dapat dilaksanakan dalam mengukuhkan perpaduan dan pusat penyebaran ilmu,” katanya. 

Sementara itu, Ab Raisham berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada RISDA kerana merealisasikan hasrat mereka memiliki masjid selesa. 

Ujarnya, mereka merasa cukup bertuah dan berharap dengan adanya kemudahan ini, pelbagai aktiviti melibatkan warga sekolah akan diadakan dalam suasana selesa. 

Top