RISDA bantu lonjak pendapatan usahawan tempatan

RISDA bantu lonjak pendapatan usahawan tempatan

REMBAU – Para usahawan di luar bandar dilihat mampu menarik nafas lega apabila perniagaan mereka berjaya dikembangkan pada skala yang menjana pendapatan yang memberangsangkan dengan bantuan modal daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Bagi Mohd. Khairul Samat, 38, yang menjalankan aktiviti pembuatan makanan salai sejak tahun 2017, beliau mungkin tidak mampu untuk meningkatkan pengeluara produknya sekiranya RISDA tidak tampil membantu menyediakan bantuan untuk membeli peralatan.

Menurutnya, pada peringkat permulaan, pengeluaran produknya hanya sekitar 500 bungkus sahaja berbanding 8,000 bungkus ketika ini meliputi makanan salai dari jenis ayam, itik dan daging.

“Jualan makanan salai kami mendapat sambutan mendorong kami memohon bantuan RISDA pada tahun 2019 untuk meningkatkan pengeluaran produk dan meluluskan bantuan berjumlah RM20,000 berbentuk peralatan projek.

“Melihat akan perkembangan perniagaan kami, RISDA seterusnya memberikan bantuan pelabelan dan pembungkusan bernilai RM8,000 pada tahun 2020. kini berjaya mengeluarkan 8,000 bungkus sebulan pelbagai produk salai antaranya daging, ayam dan itik” jelasnya.

Mohd Khairul berkata demikian pada Jelajah Mesra dan Program Pekebun Kecil Makmur peringkat Negeri Sembilan bersama Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang di bengkelnya di Kampung Pekan Pedas di sini pada Selasa.

Jelasnya lagi, hasil daripada bantuan modal yang disediakan oleh RISDA, pendapatannya meningkat kepada enam angka manakala RISDA turut membantu untuk mendapatkan persijilan halal bagi mengembangkan pasaran produk.

Pandangan yang sama turut dikongsi oleh Nadjat Danial Kamaruddin, 21, yang mana beliau mampu mengeluarkan lebih 50 beg produk rumput napier untuk jualan berbanding kegunaan sendiri sebelum ini.

“Pada mulanya kami hanya menanam napier ini untuk kegunaan ternakan sendiri namun selepas melihat sambutan mengalakkan daripada penternak lain mendorong kami mengusahakannya dengan kapasiti yang banyak.

“Justeru, kami memajak tanah seluas 7 ekar dan berjaya mengeluarkan 50 beg dengan pendapatan kira-kira RM7,000 sebulan dengan mendapat bantuan peralatan daripada pihak RISDA seperti mesin pemotong napier, baja dan benih napier,” katanya yang memulakan perniagaan bersama kakaknya, Nazifa Sahira, 24, dan sepupunya Amirudin Aman Shah, 35.

Sementara itu, seorang lagi usahawan yang mendapat bantuan RISDA menerusi Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET), Hamsyinar Yunos, 37 berkata, beliau telah enam tahun mengusahakan perniagaan bahulu bersama adik-beradiknya.

“Kami mendapat bantuan AET pada tahun 2021 sebanyak RM10,000 kemudiannya mendapat bantuan pembungkusan bernilai RM10,000 pada tahun 2022. Pada tahun ini, kami terima Insentif Nano berjumlah RM20,000.

“Alhamdulillah pendapatan kami kini antara RM5,000 hingga RM6,000 dan Insya-ALLAH kami berhasrat untuk mengembangkan lagi perniagaan ini ke seluruh negara nanti,” ujarnya.

Top