KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bercadang menstruktur semula semua anak syarikat di bawah RISDA Holdings sebagai usaha melahirkan usahawan dalam kalangan kakitangannya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata penstrukturan itu antara transformasi yang perlu dilaksanakan bagi memberi nilai tambah kepada RISDA.
“Ini adalah entiti perniagaan kepada RISDA yang skita lihat jika ada syarikat di bawah RISDA Holdings itu, boleh distruktur semula untuk mewujudkan usahawan dalam kalangan pegawai dan kakitangan syarikat.
“Ini dilihat cara terbaik iaitu memberikan peluang kepada mereka untuk menguruskan sendiri (anak syarikat) dengan kaedah ‘management buyout’,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri taklimat di ibu pejabat RISDA hari ini.
Ahmad Zahid berkata, sekiranya penstrukturan itu dilaksanakan, ia bukan sahaja dapat melahirkan lebih ramai usahawan malah berupaya mengurangkan kos operasi bagi syarikat berkenaan.
“Yang penting bukan banyaknya syarikat, yang penting syarikat itu mesti melaksanakan ‘core business’ kepada industri getah atau kepada perkara yang boleh memberikan sumbangan kepada RISDA.
“Pada hemat saya suatu hari nanti, bajet daripada kerajaan dapat dikurangkan tetapi keuntungan daripada urusniaga RISDA Holdings dan anak syarikatnya, dapat membantu pekebun kecil dan penoreh getah yang tidak memikiki tanah,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, persoalan yang harus didukung bersama oleh pegawai di kementeriannya dan RISDA ialah bagaimana transformasi kepada RISDA dan RISDA Holdings dapat direalisasikan.
“Kita harus melihat ada aspek baharu yang harus kita kemaskini terutama bagaimanakah getah terus menjadi bahan untuk industri berkaitan kerana kini terdapat persaingan dengan getah tiruan.
“Dari situ kita harus melihat bahawa getah bukan satu komoditi yang dipanggil sebagai industri ‘sunset’, tetapi kita mesti melakukan transformasi supaya bahan getah asli ini menjadi industri ‘sunrise’.
“Dalam keadaan itu juga, kita lihat matlamat untuk menjadikan pekebun kecil mempunyai pendapatan melebihi RM4,500 per isi rumah (sebulan), merupakan matlamat yang baik,” katanya.