Kuala Lumpur: Prestasi pungutan ses getah dalam tempoh tiga tahun dari 2020 hingga tahun lalu menunjukkan peningkatan dengan masing-masing merekodkan kutipan bernilai RM157.8 juta dan RM189.1 juta.
Ketua Pengarah Kastam Datuk Zazuli Johan berkata, jumlah itu meningkat berbanding dengan pungutan pada 2019 yang merekodkan sebanyak RM121.4 juta.
“Bagaimanapun atas faktor fasa pemulihan negara dan masalah kewangan sektor industri, prestasi pungutan ses getah pada tahun lalu agak menurun apabila merekodkan RM108.6 juta.
“Bagi tempoh 1 Januari hingga 14 Februari lalu, jumlah kutipan ses getah direkodkan sebanyak RM11.4 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Majlis Serah Terima SOP (Prosedur Operasi Standard) Pungutan Ses Getah antara Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berlangsung di Dewan Semarak Jati, Ibu Pejabat JKDM, Putrajaya, hari ini.
Sesi menandatangani SOP Ses Getah disempurnakan Zazuli, Ketua Pengarah RISDA Datuk Abdullah Zainal dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Operasi) LGM Dr Faridah Hanim Ab Hanan.
Ses adalah tabungan yang dipungut daripada pekebun kecil bagi tujuan tanaman semula serta kegunaan aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan sektor getah negara.
JKDM dipertanggungjawabkan sebagai agensi pemungut ses getah yang dieksport melalui pintu keluar sempadan negara.
Zazuli berkata, SOP pungutan ses getah Ses yang termeterai, hari ini, akan dijadikan rujukan serta panduan kepada barisan Pegawai Penaksir JKDM yang bertugas di semua pintu masuk sempadan tanah air.
“Penubuhan Jawatan Kuasa Technical Working Group (TWG) Kutipan Ses Getah Tanam Semula dan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dimulakan dengan kerjasama tiga agensi itu pada 2015 dan masih aktif sehingga ke hari ini.
“TWG ini diwujudkan untuk mendapatkan maklum balas agensi terbabit bagi memperkukuhkan urusan pungutan ses dan menangani ketirisan serta manipulasi ses ke atas getah,” katanya.
Menurutnya, melalui jalinan kerjasama dan komitmen diberikan tiga agensi terbabit, SOP pungutan ses getah tanah semula dan R&D berjaya dimuktamadkan pada tahun lalu melalui penerbitan buku dan e-buku yang akan diguna pakai oleh JKDM, LGM dan RISDA.
“Berdasarkan situasi semasa, penambahbaikan SOP yang dilaksanakan ini dijangka berupaya membuahkan hasil yang lebih baik ke arah peningkatan hasil negara melalui kutipan ses getah.
“Semoga ikatan strategik ini menjadi titik tolak kepada hubungan yang lebih erat dan kerjasama kukuh antara ketiga-tiga pihak pada masa hadapan,” katanya.