Suara Risda

Pengurusan ladang baik mampu stabilkan industri getah

Isi Kandungan

Malaysia dikenali sebagai pengeluar getah berkualiti dikehendaki di pasaran dunia. Melabur dalam industri getah akan memberi pulangan keuntungan dengan syarat ia diuruskan dengan baik. 

Namun, hasil getah boleh berbeza kerana bergantung kepada beberapa faktor seperti keadaan cuaca, tahap kesuburan tanah dan strategi pengurusan penyakit. Faktor harga tempatan serta ekonomi dunia turut memberi pengaruh besar kepada pergerakan harga getah di pasaran 

Pedih untuk diakui Malaysia tidak mempunyai kedudukan kukuh sebagai pengeluar yang boleh campur tangan menaikkan harga getah di pasaran antarabangsa. Pertimbangan ini disebabkan kita hanya mengeluarkan 4 peratus daripada pengeluaran getah dunia. 

Tambahan pula, persaingan getah sintetik menyebabkan permintaan getah asli berkurang dan menyebabkan margin keuntungan pekebun kecil bergantung sepenuhnya kepada pengeluaran getah berkurang. 

Penurunan pengeluaran memberi impak hebat kepada kehidupan pekebun kecil getah. Dengan serangan penyakit menyerang pokok, ada pekebun menukar tanaman. 

Ia juga menyebabkan pekebun mengurangkan aktiviti menoreh dan menyelenggara kebun. Sebahagian pekebun meninggalkan terus ladang menyebabkan kawasan bertoreh berkurang dan menurunkan kadar pengeluaran getah. Ini semua menyebabkan kerugian besar kepada ekonomi negara. 

Pelbagai sebab mengapa pengeluaran getah berkurang dan kenapa pekebun getah membiarkan kawasan getah tidak bertoreh hingga menyebabkan masyarakat tidak berminat menjadikan tanaman getah sebagai sumber pendapatan mereka. 

Pembabitan belia juga amat kurang menyebabkan isu tenaga kerja amat kritikal dalam sektor ini. 

Ini diburukkan lagi dengan kejatuhan harga getah dan tidak stabil. Ia berkait rapat pelbagai faktor termasuk keadaan ekonomi dunia lembap, pertambahan penawaran getah asli dan kejatuhan harga minyak mentah yang memberi kesan kepada permintaan getah sintetik berbanding getah asli oleh pengilang produk getah. 

Begitu juga kekurangan pematuhan dan penyertaan dalam dasar kawalan eksport dunia, ketidakcukupan insentif harga negara serta ketiadaan peraturan import negara menyebabkan harga getah terus rendah dan memacu kepada keuntungan rendah di peringkat pekebun kecil. 

Ia juga berkait dengan faktor geopolitik seperti hubungan dagang antara Amerika Syarikat (AS) dengan China serta konflik peperangan Russia-Ukraine, selain impak perubahan cuaca seperti kemarau serta banjir. 

Dalam konteks tempatan, serangan penyakit dan perosak getah serta peningkatan kos baja dan input tanaman getah menjadikan sektor ini bertambah kritikal. 

Apatah lagi ketidaksediaan rantaian nilai getah asli yang masih tidak mencukupi untuk meneroka industri hiliran memberikan cabaran besar kepada industri getah di negara ini. 

Sektor penting masyarakat luar bandar Namun, wajar ditekankan bahawa di sebalik banyak isu dan cabaran dihadapi oleh pengeluaran getah di negara ini, sektor ini masih kekal sebagai sumber penting kehidupan kepada ramai masyarakat luar bandar. 

Walaupun tanaman getah menjadi industri menguntungkan hanya jangka pendek, mencari alternatif boleh memanfaatkan pekebun dan persekitaran adalah penting pada jangka panjang. 

Sebenarnya, masih terdapat peluang untuk pertumbuhan industri getah negara jika terdapat pelaburan berterusan untuk menstabilkan sektor ini dan penerimaan teknologi baik dalam kalangan pekebun. 

 

Justeru, kerajaan dicadangkan meningkatkan penggunaan getah tempatan melalui projek kerajaan dan insentif serta mematuhi peraturan import tegas, selain meningkatkan pendapatan pekebun melalui penambahan nilai insentif serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam getah secara berkesan. 

Koperasi getah boleh dibentuk dan mengaplikasi perluasan pendapatan dalam kalangan pekebun serta mendapat sokongan kuat sektor swasta. Membangunkan polisi strategik oleh Kementerian Perladangan Dan Komoditi (MPIC), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk mewujudkan perlindungan kepada kebajikan penoreh dan pekebun kecil getah. 

Dengan mengamalkan pengurusan ladang baik seperti tanaman selingan, pemantauan terhadap serangan penyakit dan perosak serta penggunaan teknologi pemprosesan akan membolehkan sektor getah Malaysia relevan kepada semua 

Dalam melihat kelestarian sektor pertanian masa hadapan, adalah perlu untuk memperakukan nilai getah bernilai untuk menjadi sumber pendapatan selain menjadi komponen penting dalam mempromosikan alam sekitar melalui usaha penghutanan semula. 

Dengan menyokong industri ini, pelaburan bijak dalam inovasi teknologi atau perubahan polisi sedia ada, kita boleh memastikan pekebun kecil getah akan mendapat akses lebih baik kepada sumber. Sementara itu, ia boleh menawarkan produk berkualiti dengan harga kompetitif tanpa kompromi dengan nilai sosial dan persekitaran. 

Top