KUALA LUMPUR: Transformasi pembangunan di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) terutamanya penstrukturan semula RISDA Holdings diyakini mampu melonjakkan pendapatan seisi rumah pekebun kecil melebihi RM4,500 sebulan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara elemen penting dalam transformasi itu ialah mewujudkan usahawan dalam kalangan pekebun getah yang akan membawa mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.
Menurutnya, sempena 50 tahun penubuhan RISDA, kerajaan mahu melihat aspek baharu dalam organisasi itu yang boleh diperkemas terutamanya bagaimanakah getah akan terus menjadi bahan untuk industri yang berkaitan walaupun perlu bersaing dengan getah sintentik.
“Getah bukan satu komoditi industri yang merosot, tetapi harus dilakukan transformasi bagi menjadikannya industri yang terus maju ke hadapan.
“Hampir 500,000 pekebun kecil merupakan penyumbang kepada eksport getah asli negara kita iaitu 87 peratus eksport getah asli datang daripada pekebun kecil manakala selebihnya ladang-ladang. “Ini memperlihatkan sumbangan pekebun kecil khususnya di bawah RISDA sudah menjadi satu penyumbang besar kepada ekonomi negara,” katanya selepas menghadiri taklimat Program Pembangunan RISDA disini semalam.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, penstrukturan semula RISDA Holdings juga boleh mewujudkan usahawan dalam kalangan pegawai dan kakitangan syarikat.
Katanya, ini kerana ia dilihat cara terbaik iaitu memberikan peluang kepada mereka untuk menguruskan sendiri anak syarikat dengan berkonsepkan pembelian pengurusan atau ‘management buyout’.
“Jadi kaedah terbaik adalah memberikan peluang kepada mereka untuk menguruskan sendiri, di samping kos operasi dapat dikurangkan.
“Matlamat kami kini adalah untuk mengeluarkan pekebun kecil daripada kepompong garis kemiskinan, bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi sahsiah,”katanya.
Berhubung bajet untuk RISDA, Ahmad Zahid berkata, seboleh mungkin pihaknya memohon penambahan bajet.
“Namun, sedar kekangan kewangan kini, oleh sebab itu sudah disarankan penstrukturan semula bagi melakukan transformasi.
“Ini selari dengan pemikiran dan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi melakukan pengurangan kos secara efektif,” katanya