Ahmad Zahid: MITRA disaran kerjasama dengan RISDA bantu wanita india ikuti TVET

Ahmad Zahid MITRA disaran kerjasama dengan RISDA bantu wanita india ikuti TVET

BAGAN DATUK: Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), Jabatan Perdana Menteri disaran bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bagi membantu masyarakat India khususnya wanita mengikuti kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebelum ini beliau telah menaik taraf Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) di bawah RISDA sebagai sebuah universiti kolej untuk wanita sahaja yang dikenali sebagai JELITA (Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement).

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut berharap Mitra dapat mencari pembiayaan untuk wanita pelbagai bangsa di Bagan Datuk, terutama wanita India yang mahu mencari pendapatan sampingan untuk membantu keluarga mereka.

“Saya harap Mitra dapat bekerjasama dengan Pengerusi RISDA untuk peserta daripada Bagan Datuk dan lain-lain kawasan di seluruh negara daripada masyarakat India, wanita India, untuk ada peluang bagi mengikuti kursus TVET ini di bawah kolej universiti JELITA supaya kemahiran mereka tidak terhad kepada pengeluaran makanan sahaja, tetapi kepada usaha menyediakan perkhidmatan dalam pelbagai bidang.

“Saya menyatakan perkara ini kerana kursus TVET merupakan kursus jangka panjang yang boleh menjamin bukan sahaja usahawan, tetapi juga boleh memberikan pekerjaaan kepada peserta-peserta TVET ini,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Queenpreneur Bakers di Dewan Sanmarka Orang India, Hutan Melintang dekat sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata beliau mencadangkan supaya kursus yang mendapat bantuan daripada Mitra termasuk program membuat bakeri pada hari ini, diteruskan.

Beliau turut berkata Mitra juga perlu membantu memperluas pasaran terhadap produk keluaran usahawan wanita tempatan.

“Dengan adanya langkah-langkah untuk memasarkan, bukan bermaksud saya mencadangkan Mitra untuk memasarkan bahan itu atau produk itu, tetapi mencari distributors, termasuk restoran ataupun mana-mana hotel yang memerlukan produk sebegini.

“Saya lihat kualiti produk bakeri dan pastri dari wanita-wanita Bagan Datuk ini kualitinya cukup baik. Saya amat mengharapkan untuk mereka supaya ada beberapa latihan lagi dapat dibuat,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Mitra Raveendran Nair ketika berucap berkata program bakeri dengan nama Queenprenuer Bakers itu adalah inisiatif Persatuan Kebajikan dan Sosial Masyarakat India Bagan Datuk yang mendapat tajaan Mitra melalui geran kewangan dengan objektif membantu wanita yang ingin menceburi bidang pembuatan kek, pastri dan biskut.

Beliau berkata 100 peserta telah menjalani latihan selama 12 hari, 96 jam dan telah tamat latihan dengan jayanya.

Terdahulu pada program berasingan, Ahmad Zahid hadir pada penyerahan jersi pasukan bola sepak daripada Bagan Datuk, Black Mamba FC kepada beliau, pada perlawanan Manjung Football League M5 2023 di Kompleks Sukan Bagan Datuk di sini.-Bernama

Top