KPLB rangka 2 syor tingkat pendapatan pekebun kecil RISDA

Datuk Seri Mahdzir Khalid akan merangka tingkat pendapatan untuk membantu pekebun kecil RISDA
KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang merangka dua syor untuk dibentangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagi membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata syor tersebut ialah menaikkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 sekilogram kepada lebih RM3 sekilogram dan melanjutkan tempoh Bantuan Musim Tengkujuh kepada pekebun kecil getah daripada tiga bulan kepada enam bulan.

Beliau berkata satu jawatankuasa kabinet telah diwujudkan melibatkan tiga kementerian iaitu KPLB, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan Kementerian Kewangan, bagi memperhalusi dan mengenal pasti syor terbaik untuk dilaksanakan.

“Jadi saya akan bawa syor ini kepada Perdana Menteri setelah berbincang dengan KPPK, saya mewakili KPLB yang saya cakap hari ini sebab RISDA ada di bawah KPLB, satu lagi kementerian yang berkaitan ialah Kementerian Kewangan.

“Jadi biarlah kita bincang di peringkat KPLB, KPPK dan Kementerian Kewangan untuk kaedah yang terbaik, untuk dapat ditingkatkan sikit pendapatan pekebun kecil yang terjejas dengan harga getah yang rendah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Pekebun Kecil Makmur RISDA peringkat Kedah di Kuala Nerang hari ini.

BERITA BERKAITAN Pusat Kecemerlangan RISDA, jalan empat lorong di Padang Terap – PM

Katanya, walaupun kementerian mengemukakan dua syor, tetapi hanya satu yang terbaik akan dipilih, memandangkan kedua-duanya akan melibatkan perbelanjaan yang besar oleh kerajaan.

“Pasal dua-dua melibatkan kos, contohnya Bantuan Musim Tengkujuh, kalau tiga bulan kos dia RM200 juta, kalau nak panjangkan jadi enam bulan, maknanya tambah lagi RM200 juta dan jadi RM400 juta setiap tahun.

“Harga lantai getah sekerap pula sekarang RM2.50 sekilogram, kalau nak naikkan ke RM3 ke RM3.10, setiap 10 sen itu kos dia RM100 juta, kalau naik 50 sen maknanya akan jadi RM500 juta, tiap-tiap tahun, jadi kerajaan boleh timbanglah nanti tengok yang mana yang terbaik,” katanya.

Mahdzir berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan berkaitan syor itu dengan KPPK dalam minggu ini, sebelum dibawa ke Kementerian Kewangan dan seterusnya kepada Perdana Menteri yang akan menentukan tindakan susulan yang perlu dilakukan termasuk menyediakan kertas kabinet.
Top