KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan segera membina jambatan sementara di Lata Celak, Kampung Iboi, Baling, Kedah, selepas jambatan konkrit di situ runtuh dan dihanyutkan kepala air petang semalam.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pembinaan jambatan itu penting bagi memudahkan penduduk melakukan aktiviti harian termasuk berulang-alik ke sekolah dan masjid.
“Sekolah dan masjid hanya di seberang sana dan dekat dengan rumah penduduk, sebab itu kita perlu buat jambatan sementara di sungai kampung ini.
“Kita buat jambatan sementara dahulu sebab kalau nak buat jambatan konkrit yang siap sepenuhnya mengambil masa,” katanya.
Terdahulu, beliau meninjau kesan banjir di sekitar Kampung Iboi, Baling, petang tadi.
Mahdzir berkata, segala bantuan berkaitan pembaikan atau pembinaan infrastruktur dan rumah yang rosak akibat bencana itu akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU).
“Kita bersetuju semua sekali dikoordinasi oleh ICU dan semua agensi lain itu akan ikut kepada ICU.
“KPLB mempunyai peruntukan segera untuk kerja membaik pulih kemudahan yang terjejas kerana banjir di sini, namun memerlukan penelitian terperinci sebelum meluluskan jumlah peruntukan,” katanya.
Beliau berkata, KPLB menerusi GiatMara akan membantu membaik pulih kira-kira 70 rumah penduduk yang rosak akibat bencana.
Mengenai sama ada terdapat premis KPLB seperti TABIKAKemas turut terjejas dalam bencana itu, Mahdzir berkata, tiada premis KPLB terjejas namun dimaklumkan terdapat kakitangan Kemas terbabit dengan banjir berkenaan.
“Saya turut menerima laporan iaitu seramai lapan warga kerja agensi KPLB turut terlibat dalam kejadian banjir di sini.
“Mereka terdiri daripada tiga warga kerja KEMAS, RISDA (empat) dan seorang kakitangan MARA. Bantuan segera sudah saya mohon untuk disalurkan secepat mungkin kepada mereka,” katanya. – Malaysiapost