Suara Risda

Kisah inspirasi 4 usahawan RISDA

Kisah inspirasi 4 usahawan RISDA

TIDAK pernah berputus asa, rajin berusaha, kreatif mencipta sesuatu dan sentiasa positif. Itu prinsip yang dipegang oleh dua suri rumah iaitu Nur Akmal Alias, 42, dan Che Zulilawati CheBusu, 40, yang kini bergelar usahawan berjaya di Terengganu.

Namun, kata Nur Akmal dan Che Zulilawati Che Busu, tanpa bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) semuanya tidak menjadi kenyataan.

“Terima kasih kepada RISDA yang membuatkan kami berjaya keluar dari kepompong kemiskinan sekali gus mengubah nasib keluarga,” demikian kata mereka.

SinarPlus berbicara panjang lebar dengan Nur Akmal yang berasal dari Kampung Binjai, Kemaman terlebih dulu.

Ujar wanita tersebut, kesusahan hidup bersama tiga anak yang masih kecil membuatkan beliau nekad untuk mengembangkan perusahaan keropok arwah bapanya.

Namun, sebelum berpeluang berniaga di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, anak sulung daripada 10 beradik tersebut terlebih dulu melakukan pelbagai kerja demi membantu meringankan beban suami.

Ketika itu belahan hatinya merupakan pekerja logistik di Kemaman.

“Saya masih bertatih kerana tiada banyak ilmu dalam perniagaan ketika mula berniaga di R&R Perasing. Peringkat awal, nak dapat untung RM10 pun susah. Lebih membuatkan saya susah hati, anak bongsu saya kerap kena sawan.

“Alhamdulillah berkat tunjuk ajar pihak RISDA melalui kursus dan bengkel yang dianjurkan, perniagaan saya bertambah sistematik.

“Kini, sudah banyak keropok yang saya hasilkan. Antaranya seperti keropok keping, keropok lekor vacum dan keropok goreng vacum,” katanya.

Beliau yang sudah berniaga selama sembilan tahun itu berkongsi pengalamannya pada Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Jelajah Jelita di Mesra Mall, Kemamam.

Kisah Che Zulilawati wajar dijadikan contoh kepada para peniaga yang baharu dalam bidang itu agar tidak cepat mengangkat bendera putih.

Dengan rasa rendah diri, beritahu ibu kepada tiga anak itu, kejayaan yang dikecapi adalah berkat kesabaran, kesungguhan dan rezeki yang dikurniakan ALLAH SWT.

Sejarah bisnesnya bermula apabila mengambil alih perniagaan karipap mini sejak tahun 2016 itu selepas ibunya mengalami masalah penglihatan.

“Sebelum ini susah nak hasilkan karipap sebab perlu proses isi ikan secara manual untuk dijadikan inti, tapi sekarang semuanya mudah dengan bantuan geran dan mesin daripada RISDA,” katanya.
Bukan itu sahaja, anak jati Jertih itu memanjatkan kesyukuran apabila perniagaan beliau semakin berkembang selepas mempraktikkan jualan secara online dan menggunakan sistem ejen.

Menariknya lagi, selain karipap mini, Che Zulilawati turut menghasilkan beberapa produk lain seperti popia simpul, serunding dan kerepek keju yang mengandungi dua pilihan perisa (pedas dan telur masin).

SinarPlus turut menemui dua lagi usahawan yang mengisahkan cerita mereka yang penuh inspirasi pada program sama.

Ros Aiza Jusoh yang juga pemilik jenama Rose Scarf & Busana yang berpangkalan di Kampung Pagar Ubi, Kuala Nerus dilihat begitu bersemangat.

Membuka mukadimah, ujar beliau, percaya kepada diri sendiri, minat mendalam ditambah dengan usaha keras, ia mampu mengubah hidup seseorang.

Kriteria tersebut telah mendorongnya yang berniaga tudung rekaan sendiri di pasar malam dan lobi bangunan kerajaan berani memperkenalkan jenamanya sendiri.

“Alhamdulillah, impian saya tercapai apabila menerima bantuan daripada pelbagai agensi termasuk RISDA yang memberi mesin jahit dan peralatan menghasilkan batik. Malah ketika bengkel saya terjejas akibat banjir, RISDA banyak membantu untuk memulakan semula perniagaan ini,” katanya.

Kepada satu soalan, wanita yang berusia 36 tahun itu berkata, untuk kekal relevan dalam bisnes lebih 10 tahun kini bukanlah satu hal yang mudah.

Itu sebab beliau sentiasa memastikan setiap helaian Rose Scarf & Busana mengikut trend fesyen terkini, selain memiliki keunikan tersendiri.

“Sekarang saya boleh menghasilkan tudung, batik sutera, baju kaftan, baju kemeja dan uniform bercorak batik. 20 helai pakaian saya boleh siapkan dalam masa sehari.

“Seperkara, saya tiada pekerja dan segala hasil kerja saya dilakukan di bengkel sendirian. Mungkin sebab saya minat batik, jadi saya tak pernah rasa penat. Bagi saya yang paling penting, saya rasa puas bila baju rekaan saya orang suka pakai,” ujarnya.

Kronologi bisnes seorang usahawan muda bernama Ahmad Munzir Mazji tidak kurang hebatnya.

Beliau yang mempunyai kedai masakan panas dengan menu signatur paling laku keras, Nasi Lemak Senandung Malam bersyukur kerana sentiasa menerima tempahan tinggi setiap hari.

“Apa yang saya boleh katakan, semua itu adalah berkat bantuan peralatan seperti dapur dan peti sejuk besar yang diberikan kerajaan khususnya RISDA. Hasilnya, perniagaan yang saya usahakan dapat diperluaskan.

“Sememangnya semua pertolongan yang dihulurkan termasuk modal memberi kelegaan kepada kami (peniaga). Kami juga dapat meningkatkan pendapatan dengan menghasilkan lebih banyak makanan unik,” ujarnya.

Top