Peruntukan RM11 bilion kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) membuktikan komitmen tinggi kerajaan dalam melaksanakan agenda pembangunan luar bandar. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, menerusi peruntukan itu, lebih banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan di desa termasuk di kawasan pedalaman.
“Bukan sahaja dari segi infrastruktur malah ekonomi, sahsiah, spiritual dan modal insan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat. Menurutnya, peruntukan itu seterusnya dapat menyokong pembangunan sosioekonomi serta mewujudkan persekitaran kehidupan luar bandar yang sejahtera dan makmur seperti mana yang digariskan dalam Dasar Pembangunan
Luar Bandar 2030. “Di bawah peruntukan pembangunan, usaha pembangunan infrastruktur asas luar bandar akan diteruskan,” katanya. Beliau berkata, ia termasuk peruntukan RM1.5 bilion untuk jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa. “Selain itu, sebanyak RM176 juta diperuntukkan untuk menaik taraf dan menambah baik premis serta kemudahan perniagaan termasuk di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), selain premis dibawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Uda Holdings Berhad (UDA),” katanya.
Ahmad Zahid berkata, KKDW menyambut baik peruntukan RM6.7 bilion untuk program TVET meliputi 280 institusi TVET. “KKDW juga menghargai saranan supaya 90 peratus graduan TVET menerima gaji lebih RM2,000 yang dijangka akan turut memberi manfaat kepada kira-kira 59,000 pelajar TVET,” katanya. Ujar beliau, MARA sebagai salah satu institusi utama TVET dibawah KKDW juga merintis penglibatan institusi TVET Persekutuan dengan industri terutama dalam kalangan GLC untuk ambil alih sebahagian atau sepenuhnya penyediaan program latihan bagi memenuhi keperluan industri.
Katanya, RISDA diperuntukkan RM256 juta bagi Bantuan Musim Tengkujuh yang mana kadarnya dinaikkan daripada RM600 kepada RM800 untuk tempoh empat bulan.“Bantuan Musim Tengkujuh ini akan memberi manfaat kepada 320,000 pekebun kecil,” katanya.
Menurutnya, pendapatan minimum penoreh getah dapat dipertingkat melalui kenaikan Paras Harga Pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah daripada RM2.50 kepada RM2.70 yang melibatkan peruntukan RM350 juta. “Manakala Felcra akan menerima peruntukan membangunkan tanah-tanah terbiar untuk projet tanaman makanan,” katanya. Tambah Ahmad Zahid, kementerian juga memberi penekanan untuk pendidikan awal kanak-kanak di kawasan luar bandar. Beliau berkata, KKDW akan memastikan peruntukan RM11 bilion pada tahun ini dimanfaat dan digunakan untuk pemugaran desa dan memperkasa penduduk desa.