SEREMBAN, 10 Mac- Kenaikan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram sekurang-kurangnya dapat memberi sinar baharu kepada taraf hidup pekebun kecil getah.
Timbalan Pengarah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Negeri Sembilan, Kamarul Azizi Mat Zin berkata, perkara itu dapat membantu mereka untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.
“Sekiranya dinaikkan lagi kepada RM3 atau lebih, ia akan meningkatkan lagi pendapatan pekebun kecil, sekali gus mampu membasmi kemiskinan kerana ada dalam kalangan pekebun kecil bergantung sepenuhnya kepada hasil getah,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat RISDA, di sini.
Tambahnya, pendapatan bulanan yang diperoleh pekebun kecil di Negeri Sembilan menerusi jualan getah setakat ini adalah sekitar RM800 hingga RM1,000 bagi ladang getah yang berkeluasan satu hektar.
Bagaimanapun, pendapatan itu tidak tetap ekoran risiko yang dihadapi mereka termasuk faktor cuaca dan kekurangan pekerja.