Suara Risda

Industri Getah Malaysia

Susu getah yang ditadah di dalam bekas takungan sebelum dikumpul.

Isi Kandungan

1. Apa Itu Getah?

Getah ialah sejenis bahan yang bersifat kenyal dibahagikan kepada getah asli dan getah sintetik. Getah asli terhasil daripada sap beberapa jenis pokok dalam bentuk susu getah atau lateks. Getah sintetik pula ialah bahan sama yang dihasilkan melalui pemprosesan kimia biasanya menggunakan petroleum.

2. Sejarah Penemuan Getah

Getah asli mempunyai sejarah selama beratus tahun lamanya bermula pada penghujung abad ke-15 di benua Eropah. Segalanya bermula dengan Christopher Columbus yang merekodkan penemuan sejenis bola yang boleh melantun oleh masyarakat Haiti sewaktu pelayarannya untuk mencari “Dunia Baru”. Walaupun Christopher Columbus dan krewnya menjadi warga Eropah pertama yang menemui bahan ini, getah tidak mencuri perhatian dunia barat sehinggalah pada abad ke-18 dan hanya mendapat permintaan menjelang abad ke-19.

Berikut merupakan garis masa penemuan getah dan bagaimana bahan ini mula digunakan secara meluas sekarang.

3. Sejarah Penanaman Getah di Malaysia

Pokok getah pertama di Malaysia mula ditanam pada abad ke-20 iaitu pada awal 1900-an. Bermula daripada penanaman pokok getah pertama di Malaysia, getah asli kemudiannya menjadi tunjang ekonomi utama Malaysia atau pada waktu itu lebih dikenali sebagai Tanah Melayu. Ini juga menjadi permulaan kemasukan warga asing ke Tanah Melayu untuk dijadikan buruh di ladang-ladang getah kerana permintaan getah asli dunia ketika itu melambung.

Pada tahun 1921, hampir dua dekad selepas penanaman pokok getah pertama di Malaysia, banyak ladang-ladang milikan pekebun kecil ditubuhkan. Harga pasaran getah asli yang tinggi ketika itu menjadikan penanaman pokok getah komoditi terbesar dan di Perak, hasil daripada pekebun kecil merangkumi 48% jumlah penghasilan getah negeri itu.

Pada tahun 1929, Institut Penyelidikan Getah Malaysia (Rubber Research Institute of Malaysia) ditubuhkan dan kemudiannya berkembang selaras dengan penubuhan badan-badan lain sebelum digabungkan di bawah satu badan utama iaitu Lembaga Getah Malaysia (Malaysian Rubber Board atau LGM) yang masih aktif sehingga kini.

4. Jenis-Jenis Pokok Getah

Secara amnya, getah boleh dihasilkan daripada pelbagai jenis pokok tetapi getah asli yang pernah atau masih dikomersilkan dihasilkan daripada dua jenis utama;

Pokok Getah Congo (Landolphia Owariensis)

Pokok getah Congo dan baka utamanya yang dikenali sebagai “gumvine” (Landolphia) pernah menjadi salah satu daripada dua jenis pokok getah komersil utama tetapi mula diketepikan berikutan pengkomersilan pokok getah Amazon Brazil. Berbeza dengan pokok getah yang lebih dikenali sekarang, pokok getah Congo ialah pokok menjalar yang tumbuh dengan liar di hutan. Lateks daripada pokok getah Congo diambil dengan mencantas dahan pokok tersebut yang menjalar.

Pengeksportan pokok getah Congo giat dijalankan pada awal abad ke-20 oleh negara-negara di benua Afrika seperti Sierra Leone, Ghana dan Nigeria.

Pokok Getah Amazon Brazil (Hevea Brasiliensis)

Pokok getah Amazon Brazil atau turut dikenali sebagai pokok getah Pára ialah pokok getah am yang anda kenali sekarang. Jenis pokok getah ini digunakan secara meluas dan merupakan baka utama yang digunakan secara komersil. Pokok getah ini juga merupakan baka yang ditemui dan dieksperimentasi sepanjang sejarah penemuan getah asli.

Pokok getah Amazon Brazil menjadi baka utama yang dikomersilkan kerana pokok ini menghasilkan getah yang lebih banyak berbanding pokok-pokok lain dan lebih mudah untuk ditanam. Penanaman pokok getah jenis ini dilakukan secara meluas di seluruh dunia terutama di benua Asia termasuk Malaysia. Pokok getah liar yang tumbuh di hutan Amazon pada kebiasaannya boleh membesar sehingga mencapai ketinggian 43 meter tetapi pokok getah di ladang komersil biasanya hanya mencapai ketinggian 14 meter.

Baka pokok getah hevea brasiliensis ini melalui pelbagai proses pengkulturan dan pengklonan sejak mula dikomersilkan. Proses-proses ini dilakukan bagi menghasilkan baka pokok getah cepat matang yang boleh mengeluarkan getah dengan banyak dan mempunyai daya ketahanan tinggi. Kebanyakan pokok getah di Malaysia yang telah melalui proses penanaman semula ialah baka klon. Berbeza dengan pokok getah Congo, getah daripada pokok ini diperolehi melalui penorehan pada batangnya.

Berikut merupakan contoh anatomi pokok getah yang telah ditoreh bagi mendapatkan susu getah atau lateks.

Anatomi pokok getah komersil yang telah ditoreh.

5. Kegunaan Pokok Getah

Kegunaan pokok getah sejak awal penemuan sehingga awal abad ke-21 lebih memfokuskan kegunaan lateks berbanding bahagian lain pada pokok. Pada awal abad ke-21, masyarakat dunia giat memperkasakan kelestarian alam sekitar dan kegunaan lain bagi pokok getah mula diterokai. Ini kerana, kebiasaannya pokok getah tua akan ditebang dan dibakar sekaligus merosakkan alam sekitar.

Antara kegunaan pokok getah berdasarkan anatominya termasuk;

Susu Getah atau Lateks

Susu getah atau lateks merupakan kegunaan utama pokok getah dan merupakan nilai komersil tertinggi bagi pokok getah. Lateks pokok getah mempunyai nilai komersil tinggi kerana bahan aslinya sendiri tidak memerlukan pemprosesan rumit sebagai bahan mentah. Lateks juga boleh dibahagikan kepada gred kualiti tersendiri bergantung kepada kaedah pengumpulannya dan nilai pasarannya berbeza mengikut hasil. Sebagai contoh, susu getah tulen mempunyai nilai pasaran lebih tinggi berbanding hasil pembekuan getah seperti getah sekerap.

Hasil pengumpulan lateks sama ada susu getah tulen atau getah sekerap kemudian diproses dengan lebih teliti sebagai bahan utama produk berasaskan getah termasuk tayar kereta, sarung tangan, dan sebagainya.

Daun Pokok Getah

RISDA (Rubber Industry Smallholders Development Authority), badan bersekutu di bawah LGM khusus bagi pemantauan penanaman getah dalam kalangan pekebun kecil giat mendorong penghasilan kraf dan produk berasaskan pokok getah. Melalui inisiatif Galeri Hevea, RISDA menonjolkan bagaimana daun pokok getah boleh dijadikan kraftangan seperti topi dan aksesori produk fesyen contohnya dijadikan tampalan fabrik.

Biji Getah

Biji getah mempunyai kulit keras di luarannya dan antara pendekatan yang telah diambil untuk menambah kegunaan pokok getah ialah dengan menghasilkan kraftangan menggunakan kulit biji getah. Antara kraftangan yang boleh dihasilkan termasuk gelang, rantai dan pelbagai aksesori.

Batang Pokok Getah

Selepas getah telah tua atau sudah tidak ekonomik iaitu tidak menghasilkan lateks, batang pokok getah boleh dijadikan bahan untuk membuat perabot. RISDA telah membangunkan beberapa inisiatif bagi mengembangkan penghasilan perabot berasaskan getah dan kini, perabot kayu berasaskan getah mempunyai permintaan tinggi terutama bagi pokok getah yang diklonkan dengan pokok balak - salah satu baka pokok utama dalam penghasilan perabot.

6. Proses Penghasilan Getah

Pokok getah ialah sejenis tumbuhan jangka panjang yang boleh mengambil masa sehingga 20 tahun sebelum sesebuah pokok berhenti mengeluarkan lateks. Bagi membolehkan penghasilan getah yang banyak, proses penanaman, penjagaan, dan pengumpulan betul amat penting bagi menjana hasil lumayan.

Proses penjagaan pokok getah melalui penyemburan racun rumpai.

Proses Penanaman Pokok Getah

Proses penanam getah biasanya melibatkan penanaman anak pokok getah. Di Malaysia, anak pokok getah yang dibekalkan biasanya merupakan jenis klon yang lebih mudah dijaga, cepat membesar, dan mempunyai ketahanan tinggi. Anak pokok ini perlu ditanam secara melurus dengan jarak tetap antara setiap pokok dan memerlukan kedalaman tertentu. Ketelitian proses dan kaedah penanaman ini ialah bagi memastikan pokok getah membesar dengan sihat dan subur.

Proses penanaman anak pokok getah di kebun getah.

Proses Penanaman Pokok Getah

Proses penanam getah biasanya melibatkan penanaman anak pokok getah. Di Malaysia, anak pokok getah yang dibekalkan biasanya merupakan jenis klon yang lebih mudah dijaga, cepat membesar, dan mempunyai ketahanan tinggi. Anak pokok ini perlu ditanam secara melurus dengan jarak tetap antara setiap pokok dan memerlukan kedalaman tertentu. Ketelitian proses dan kaedah penanaman ini ialah bagi memastikan pokok getah membesar dengan sihat dan subur.

Kaedah menoreh getah saluran berpilin naik.

Proses Penorehan Getah

Apabila pokok getah sudah matang sama ada sesebuah pokok mencapai usia atau saiz lilitan tertentu bagi baka klon, proses penorehan getah boleh dilakukan. Proses penorehan getah ini dilakukan dengan menoreh getah di tapak torehan pada batang pokok. Tapak torehan dibuat dengan “mencederakan” - iaitu membuang kulit sebahagian batang pokok getah pada ketinggian tertentu.

Aktiviti menoreh getah kemudiannya dilakukan pada tapak torehan secara berperingkat di bahagian berbeza supaya bahagian yang ditoreh sebelumnya mempunyai masa untuk “sembuh”. Penorehan getah biasanya dijalankan pada waktu malam atau awal pagi kerana suhu panas boleh mempercepat pengeringan lateks.

Teknik penorehan yang betul diperlukan bagi mendapatkan hasil optimum dan tidak merosakkan pokok. Kaedah menoreh getah yang disyorkan di Malaysia ialah kaedah saluran berpilin naik. Hasil lateks yang diperoleh adalah susu getah yang mengalir keluar akibat torehan ini dalam bekas takungan yang dipasang pada lilitan pokok.

Susu getah yang ditadah di dalam bekas takungan sebelum dikumpul.

Proses Pengumpulan Getah

Susu getah atau lateks biasanya dikumpul pada hari yang sama dan nilainya adalah lebih tinggi berbanding hasil pembekuan getah. Susu getah ialah cecair yang ditakung di dalam bekas takungan dan pengusaha getah biasanya mengumpul semua susu getah dalam satu bekas besar yang sama sebelum dihantar ke kilang pemprosesan atau penghasilan getah.

Hasil pembekuan getah paling biasa dikumpul ialah getah sekerap dan pengumpulannya mempunyai kadar kekerapan serta kaedah berbeza. Pengumpulan getah sekerap iaitu susu getah yang membeku di dalam bekas pengumpulan boleh diambil dengan melarutkannya menggunakan cuka. Pengumpulan getah sekerap biasanya dilakukan selang beberapa bulan.

7. Industri Getah Global

Menjelang tahun 2020, pengeluaran getah asli dunia telah mencapai 14.8 juta tan metrik dan Thailand merupakan pengeluar terbesar getah asli diikuti oleh Indonesia dan Vietnam. Berikut rajah menunjukkan 10 Negara Pengeluar Utama Getah Asli Dunia bagi tahun 2019 dan 2020;

Statistik negara pengeluar utama getah asli dunia tahun 2019 dan 2020.

Permintaan getah asli dunia setakat ini masih tinggi walaupun penghasilan getah sintetik giat dijalankan. Harga getah juga stabil malah meningkat pada akhir tempoh 2021. Getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) meningkat sebanyak 9.5%. Berikut Harga Purata Getah Dunia bagi tahun 2020 dan 2021;

Graf peningkatan dan penurunan harga getah dunia pada tahun 2020 sehingga 2021.

Hakikatnya, walaupun permintaan getah sintetik tinggi, getah asli masih diperlukan malah kekurangan sumber getah asli adalah salah satu isu ekonomi global. Ini kerana walaupun getah sintetik lebih mudah dan cepat untuk dihasilkan, kualitinya tidak setanding getah asli. Kebanyakan organisasi global masih mengkaji cara untuk meningkatkan pengeluaran hasil getah asli daripada pokok getah atau mencari alternatif getah asli lain bagi menampung permintaan global.

8. Industri Getah Malaysia

Malaysia merupakan pengeluar getah asli ketujuh terbesar di dunia pada tahun 2020 dan pada tahun 2021, sektor getah memberi sumbangan sebanyak 0.2% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Malah, Malaysia berjaya mengaut keuntungan sehingga RM63.2 bilion menjelang Oktober 2021 melalui pengeksportan getah dan produk getah - peningkatan sebanyak 70.7% berbanding tahun sebelumnya.

Sayangnya, walaupun Malaysia merupakan antara pengeluar terbesar getah asli dunia, pengeluaran getah asli Malaysia menurun sebanyak 8.7% pada tahun 2021. Kini, LGM, iaitu badan pengelola rasmi industri getah negara yang memantau perkembangan dan pemodenan industri getah merangka pelbagai inisiatif bagi menggalakkan penanaman getah di Malaysia.

Kebanyakan usaha intensif dilaksanakan oleh RISDA, memandangkan majoriti tanaman getah di Malaysia merupakan kebun getah milik pekebun kecil. Usaha-usaha yang dilaksanakan oleh RISDA termasuk mengeluarkan dana, membekalkan latihan, menjual produk dan teknologi terkini untuk tanaman getah serta menyalurkan bantuan kepada pekebun kecil yang memerlukan.

Segala inisiatif ini dilaksanakan supaya pengeluaran hasil getah negara meningkat dan menjaga kebajikan pekebun kecil terutama dalam memastikan tanaman getah mereka mampu menjana pendapatan stabil.

Sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai industri getah Malaysia dan bagaimana untuk menjadi ahli pekebun kecil getah, anda boleh hubungi kami bila-bila masa sahaja.
Top