Suara Risda

KPLB bantu tangani isu sekuriti makanan

SUNGAI PETANI: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) optimis dapat menangani isu sekuriti makanan yang kini dibimbangi rakyat menerusi langkah mengukuhkan lagi industri penternakan melalui RISDA dan FELCRA Berhad.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata RISDA dan FELCRA bertanggungjawab melaksanakan projek memperkembangkan ladang ternakan ayam serta lembu bagi menjamin bekalan makanan itu daripada peruntukan disalurkan kementerian berjumlah RM80 juta.

Sehubungan itu, beliau berkata, KPLB memberi jaminan akan memastikan projek ternakan ayam dan lembu berkenaan dilaksanakan dengan efisien dan efektif, sekali gus objektif kementeriannya tercapai.

“Peruntukan KPLB sebanyak RM60 juta untuk FELCRA besarkan ladang ternakan lembu, manakala RM20 juta untuk RISDA besarkan ladang ternakan ayam. Kita sasarkan 10,000 ekor lembu setahun dan 600,000 ekor ayam dikeluarkan dalam tempoh 35 hari.

Kita tahu ia tidak dapat tampung sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya dapat membantu daripada segi sekuriti makanan melalui projek FELCRA dan RISDA ini.

Projek ini sudah dimulakan dan dilancarkan, ladang ternakan ayam di Rompin (baru-baru) ini,” katanya selepas Program Pendampingan dan Penyampaian Bantuan Warung Desa@KPLB Daerah Kuala Muda di Dewan Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dekat sini, hari ini.

Abdul Rahman ditanya mengenai perancangan kementeriannya dalam usaha membantu kerajaan memastikan krisis sekuriti makanan dapat diatasi sebaik mungkin.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya krisis sekuriti makanan perlu ditangani segera terutama dalam keadaan dunia menghadapi pelbagai kemelut dan kejutan ketika ini.

Baginda turut menitahkan satu pelan jangka panjang dirangka untuk mengukuhkan sekuriti makanan dan menjamin kos sara hidup berada pada tahap bersesuaian.

Sementara itu, mengenai Warung Desa berkenaan, Abdul Rahman berkata, sebanyak 135 orang mendapat manfaat melalui bantuan itu di seluruh negara daripada jumlah sasaran keseluruhan peserta seramai 950 orang bagi Program Peningkatan Pendapatan (PPP).

PPP adalah antara program KPLB untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat di luar bandar bagi meningkatkan pendapatan dan mengeluarkan masyarakat daripada belenggu kemiskinan dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah kategori B40 yang menetap di luar bandar.

Bantuan PPP diberikan dalam pelbagai bentuk termasuk mesin peralatan, premis, bengkel dan ruang niaga, bahan mentah, kos operasi permulaan, latihan prapelaksanaan projek serta bimbingan.
Top