Suara Risda

Hanya pekebun kecil layak Bantuan Musim Tengkujuh

RISDA giat laksana pemutihan data pastikan golongan sasar dapat manfaat tahun ini

Kuala Lumpur: Hanya pekebun kecil yang memenuhi kelayakan ditetapkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan diberikan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT).



Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia susulan RISDA giat melaksanakan pemutihan data pekebun kecil tahun ini bagi mendapatkan jumlah terkini golongan itu, di seluruh negara.



“Hanya mereka yang layak diberikan BMT dan kita tidak mahu mereka tidak layak menerima kerana tidak sepatutnya mereka masuk dalam senarai.



“Justeru, dalam usaha memastikan golongan bersasar menerima bantuan sewajarnya, RISDA kini sedang giat melaksanakan pemutihan data pekebun kecil pada 2023 bagi mendapatkan data terkini,” katanya pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di Dewan Rakyat, semalam. Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata RISDA komited melaksanakan bimbingan dan latihan Amalan Pertanian Baik (GAP) kepada pekebun supaya dapat meningkatkan hasil getah yang optimum.

BMT dibayar dua bulan

Beliau berkata, BMT tahun lalu dilaksanakan secara bersasar sebanyak RM800 seorang dan dibayar dalam tempoh musim tengkujuh iaitu RM300 sebulan bagi dua bulan pada November dan Disember 2022 serta RM200 pada Januari lalu.

“Seramai 279,946 orangpekebun kecil dan penoreh sudah menerima insentif ini berdasarkan syarat kelayakan yang sudah ditetapkan iaitu warganegara Malaysia, pekebun kecil yang berdaftar dengan RISDA atau Lembaga lndustri Getah Sabah (LIGS).

“Syarat lain ialah memiliki tanah bertanam getah atau menoreh di kebun getah yang berkeluasan 2.5 hektar ke bawah dan bagi lot yang berkongsi pemilikan, hanya seorang sahaja yang layakme mohon.

“Bagi kategori penoreh getah,terhad kepada mereka yang memiliki Kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) iaitu satu dokumen pengenalan kepada pekebun kecil getah warganegara Malaysia yang memiliki atau mengusahakan kebun getah dan aktif melakukan transaksi penjualan getah sahaja,” katanya.   Beliau berkata, latihan GAP yang dilaksanakan merangkumi peringkat pembangunan sehingga peringkat pengeluaran hasil yang mana RM2.97 juta dibelanjakan pada 2021 dan 2022 bagi tujuan itu dengan 146,354 pekebun kecil menerima manfaat.

“Sementara bagi 2023, sejumlah RM1.10 juta diperuntukkan denganseramai 40,799 pekebunkecil disasarkan menerima manfaat,” katanya.

Beliau berkata, RISDA juga akan mewujudkan depoh pengeluaran lateks bagi memenuhi permintaan domestik.
Top