Kemerosotan harga getah getah sejak beberapa tahun ini menjadi cabaran besar kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk meningkatkan produktiviti komoditi tersebut susulan terdapat lebih 400,000 hektar pokok getah di seluruh negara tidak ditoreh.
Menyedari perlunya penyelesaian tuntas untuk memastikan industri getah terus berdaya tahan, Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib yang baharu menerajui agensi tersebut memulakan langkah dengan meminta rundingan segera dibuat dengan pemilik kebun getah yang tidak ditoreh itu supaya ia diusahakan secara estet oleh pihaknya.
Menerusi wawancara khas yang dikendalikan wartawan Sinar Harian, NURUL HUDA HUSAIN dan jurufoto, ASRIL ASWANDI SHUKOR di Ibu Pejabat RISDA, Kuala Lumpur baru-baru ini, Yang Berhormat (YB) Ahli Parlimen Tenggara itu menyentuh pelbagai isu lain melibatkan pekebun kecil getah.
SINAR HARIAN: Boleh YB jelaskan peranan RISDA dalam memastikan kelestarian pembangunan industri getah di Malaysia?
MANNDZRI: RISDA merupakan agensi kerajaan yang bernaung di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bertanggungjawab secara khusus untuk menggalakkan penanaman semula dan tanam baharu getah serta pada masa yang sama memastikan peningkatan kesejahteraan pekebun kecil.
Ketika ini RISDA menyelia seramai 552,543 pekebun kecil yang dengan purata keluasan tanah di bawah 2.0 hektar. Rata-rata pekebun kecil ketika ini telah mencapai umur 58 tahun ke atas, namun masih berupaya menyumbang sebanyak 85.3 peratus pengeluaran getah asli berbanding sektor estet pada 14.7 peratus.
Peratusan ini menunjukkan betapa pentingnya pembangunan sektor pekebun kecil getah yang berterusan demi menyokong dan memperkuatkan struktur ekonomi Malaysia pada masa hadapan.
Apakah isu dan cabaran utama yang dihadapi oleh RISDA dan pekebun kecil secara khususnya?
Cabaran paling besar ialah ketika ini terdapat lebih kurang 425,000 hektar pokok getah yang tegak berdiri tidak ditoreh dan berdasarkan tinjauan umum yang dibuat, pekebun kecil tidak berminat untuk menoreh kerana harga getah yang rendah. Tiga negeri tertinggi yang mencatatkan ladang getah tidak ditoreh ialah di negeri Kelantan, Kedah dan Sarawak.
Harga getah rendah berpunca daripada persaingan antara getah asli dan getah sintetik. Kalau kita lihat pada masa kini, kebanyakan peralatan yang dibuat berasaskan getah menggunakan getah sintetik dan keadaan ini merupakan antara kesan permintaan getah asli merosot
Cabaran ini juga turut menyebabkan negara kehilangan sumber getah yang sepatutnya dikeluarkan, tetapi tidak ada hasil disebabkan peserta kita tidak menoreh. Mengikut data banci yang kita ada ketika ini, terdapat lebih satu juta hektar ladang getah di seluruh negara yang diurus oleh RISDA.
Industri ini ada potensi namun mempunyai ancaman semasa,terutamanya disebabkan harganya yang rendah.
Sebagai usaha untuk mengatasi cabaran ini, apakah langkah atau usaha yang diambil RISDA?
Saya sudah minta RISDA dan anakanak syarikat berkaitan untuk buat kajian serta berjumpa dengan pemilik tanah seluas 425,000 hektar yang tidak ditoreh itu untuk memberi kebenaran kepada RISDA bagi uruskan kebun-kebun mereka melalui konsep estet dengan persefahaman ‘menang-menang’.
Bagi tahun 2024, kita sasarkan 100,000 hektar dahulu di lokasi yang strategik yang dekat dengan jalan, mudah untuk uruskan ladang. Kalau kita dapat capai sekurangkurangnya 100,000 hektar ini kita akan dapat meningkatkan produktiviti getah negara.
Jadi, saya harap menjelang April 2024, RISDA boleh mengorak langkah pantas untuk mengenal pasti kebun serta pemilik kebun getah yang tidak ditoreh. Ini antara penyelesaian jangka pendek yang mungkin kita dapat laksanakan untuk keluarkan hasil
Bagaimana YB sendiri melihat industri getah negara ketika ini?
Dari tahun ke tahun kebun getah semakin merosot dan industri ini sememangnya bergantung kepada pekebun kecil. Bagi menggalakkan pekebun untuk terus tanam getah, RISDA tampil dengan pelbagai inisiatif serta insentif bagi memastikan industri ini kekal di negara kita.
Dalam hal ini, kita serah kepada negara untuk tentukan sama ada getah ini akan terus membesar, kekal atau dibiar mengecil. Kita sentiasa bersedia dan terus kekal fokus menjaga sektor pekebun kecil.
Kebanyakan pekebun kecil getah melibatkan generasi lama. Apakah strategi RISDA untuk menarik golongan muda untuk terlibat dalam aktiviti pekebun kecil getah?
Berdasarkan kepada keperluan semasa, termasuk faktor purata umur purata pekebun kecil yang menjangkau 58 tahun dalam menguruskan kebun-kebun getah, RISDA memperkenalkan Program Fasiliti Getah Matang (FASGET). Ia merupakan usaha terhadap peningkatan penghasilan getah asli melalui pemerkasaan infrastuktur dan seterusnya menarik minat tenaga kerja muda dalam sektor ini.
Pelaksanaan program yang mensasarkan peserta berumur 18 sehingga 50 tahun ini dijangka memberi impak dalam mewujudkan tenaga kerja tempatan terlatih dan mahir bagi menampung keperluan industri dengan persekitaran kerja dan upah yang lebih menarik.
Antara insentif yang ditawarkan melalui program ini, peserta yang mengambil sijil kemahiran teknikal pengeluaran hasil yang dikeluarkan oleh RISDA, mereka akan dibayar RM300 setiap bulan untuk tempoh enam bulan. Manakala getah lateks pula, jumlah bayaran sama tetapi tempohnya lebih panjang iaitu selama 12 bulan
Bagi tahun ini, RISDA sasarkan 2,000 penyertaan dan pada tahun lalu dan tahun lalu kita telah melahirkan 1,700 tenaga kerja dalam kalangan anak pekebun kecil melalui program ini.
RISDA begitu komited dalam memastikan industri getah kekal sebagai komoditi negara meskipun berdepan cabaran tersendiri. Apakah faktornya?
Boleh saya katakan, daripada 100 batang pokok getah yang ada dalam negara ketika ini, 86 batang pokok diurus bersama RISDA, manakala 14 sahaja milik lain. Bahasa mudahnya kita boleh katakan daripada 100 batang pokok getah di negara ini, 86 daripadanya diuruskan oleh RISDA melalui pekebun-pekebun kecil getah di seluruh negara.
Jadi, industri getah sangat bergantung kepada kita (RISDA). Kalau kita hendak harapkan pemain industri besar lain memang sudah tidak ada kerana kebanyakan memilih komoditi lain terutamanya sawit.
Kita di pihak RISDA sedaya upaya hendak kekalkan getah ini tapi kalau ada keputusan lebih besar sebagai contoh negara memilih untuk beranjak ke komoditi lain, kita juga tetap bersedia kerana apa yang paling mustahak bagi kita ialah kesejahteraan pekebun kecil.
Secara peribadi, saya merasakan alangkah baiknya industri rubber itu diperluaskan kepada industri rural. Itu antara hasrat saya sebaik diberi amanah oleh Datuk Seri Dr. Hj Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW. Saya akui banyak perkara yang perlu dipertimbangkan termasuk kemungkinan ada pertindihan fungsi agensi lain dan pindaan akta.
Apakah harapan atau fokus YB untuk terus memperkasakan RISDA agar kekal relevan?
Fokus saya, ialah akan galakkan generasi kedua dan ketiga untuk terus menyokong ibu bapa mereka kekal tanam getah kerana dengan penglibatan itu secara tidak langsung melayakkan mereka dibantu dari segi keusahawanan dan 11 faedah lain bersama RISDA.
Selagi getah boleh mensejahterakan 552,543 pekebun kecil, maka kita akan terus menyokong industri tetapi kalau sampai satu masa industri ini menjadi semakin sukar dan sulit kita juga bersedia untuk berubah ke industri rural. Negara arah sahaja, RISDA akan lakukan sedaya upaya.