KUALA LUMPUR – Keprihatinan kerajaan membantu pekebun kecil melalui Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) dilihat dapat mengurangkan beban dan kos sara hidup yang dihadapi golongan itu apabila tibanya musim tersebut.
Timbalan Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Adzmi Hassan berkata, bantuan itu turut memberi kelegaan kepada pekebun kecil selepas sumber pendapatan mereka terjejas akibat hasil torehan yang berkurangan.
“Alhamdulillah permohonan BMT telah dibuka sejak semalam dan dianggarkan setiap daripada mereka yang layak akan menerima RM800. Difahamkan bantuan ini akan diagihkan bermula November atau selewat-lewatnya akhir Februari secara berperingkat.
“BMT adalah satu usaha murni kerajaan dalam membantu pekebun kecil di seluruh negara dan diharapkan ia dapat diteruskan serta ditambah jumlahnya pada masa akan datang memandangkan kos sara hidup sentiasa meningkat,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.
Di SELANGOR, Penolong Pegawai Pertanian Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Daerah Hulu Selangor, Gombak dan Petaling, Noor Zaidi Yak berkata, bantuan yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bakal memanfaatkan kira-kira 1,300 pekebun kecil yang berdaftar di daerah itu.
“Bagaimanapun, kita masih menunggu surat arahan daripada pihak atasan berkenaan bantuan yang diumumkan dan pihak kami akan menghubungi semua pekebun kecil ini untuk mengemas kini nombor akaun yang biasanya dibuat setahun sekali,” katanya.
Sementara itu, P.Vengadasamy, 50, yang mengusahakan kebun getahnya secara sambilan di Hulu Selangor, berkata, bantuan yang diberikan sedikit sebanyak membantu golongan sepertinya memandangkan harga lantai getah sekerap masih di bawah RM3.
“Kita juga mengalu-alukan bantuan lain yang dapat diberikan kerajaan untuk membela nasib pekebun kecil getah,” katanya.