Penerima bantuan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bersyukur kerana bantuan yang diterima berjaya mengubah kehidupan mereka dengan lebih baik.
Seorang penerima, Roslizani Mohamed, 42, berkata, perniagaan santan segar diusahakan kini semakin maju hasil bantuan RM20,000 daripada RISDA.
Katanya, sebelum itu, beliau mempunyai sebuah mesin memerah santan terpakai yang menghasilkan santan kira-kira 30 biji kelapa sehari.
“Saya ditawarkan bantuan oleh RISDA dan hasil bantuan sebanyak itu, saya memiliki mesin lebih besar dan mampu menghasilkan lebih banyak santan.
“Beberapa kursus ditawarkan termasuk kursus keusahawanan membuatkan saya lebih bersemangat. Kini, saya berjaya menghasilkan santan kira-kira 60 biji kelapa dengan jualan paling tinggi pada Khamis, Jumaat dan Sabtu iaitu 100 kelapa sehari.
“Ia sekali gus meningkatkan pendapatan saya dengan keuntungan sekitar RM3,000 sebulan,” katanya yang menjalankan perniagaan di Kampung Padang Pulut.
Roslizani berkata, RISDA sekali lagi membantunya dengan menyalurkan bantuan sebanyak RM13,170 untuk projek tanaman semula getah di atas tanah miliknya seluas dua hektar.
“Empat tahun lagi, getah itu akan mengeluarkan hasil dan ia boleh menambahkan lagi penda-patan saya,” katanya.
Abdullah Daud, 77, pula menerima bantuan RM77,000 untuk projek tanam semula getah di kawasan seluas 5.6 hektar di Kampung
“Tanam semula perlu dilakukan demi menambah pendapatan dan November tahun lalu, saya ke pejabat RISDA Dungun membuat permohonan bantuan. Saya bersyukur apabila RISDA sudi membantu,” katanya.
Sementara, Abdul Razak Ishak,63, menerima bantuan Program Agromakanan RISDA sebanyak RM20,000 untuk mengusahakan tanaman pisang di kawasan kebun getahnya seluas 2.4 hektar di Kampung Tok Kah.
“Bantuan itu merangkumi pagar, mesin rumput, baja dan benih. Kini, saya sudah menanam kira-kira 1,000 pokok pisang nangka dan tanduk.
“Sebelum ini, saya turut mendapat bantuan RM32,000 daripada RISDA untuk projek tanaman getah sejak 2014,” katanya.
Beliau yang juga pesara tentera berkata, berkat kesabaran, tanaman pokok getah hasil bantuan RISDA itu sudah mengeluarkan hasil.
“Banyak jasa RISDA kepada kami, bukan sahaja bantuan, malah diberi pelbagai kursus tanaman, pengurusan getah muda, getah matang dan sebagainya,” katanya.
Bidah Zakaria, 64, berkata dia menerima bantuan asas prasarana dengan RISDA yang membina jalan sepanjang 620 meter untuk ke kebun getahnya di Kampung Tok Kah.
“Sebelum ini untuk sampai ke kebun kena lalu jalan becak dan berselut dan kini sudah ada jalan sempurna. Pembinaan jalan itu turut memberi kesenangan kepada 40 pekebun dan petani di situ,” katanya.
Sementara itu, Pengarah RISDA Negeri Terengganu, Zulkiflee Salleh, berkata sepanjang Januari hingga Julai tahun ini pihaknya memperuntukkan sebanyak RM7.7 juta kepada 1,527 pekebun kecil melalui bantuan Program Pembangunan RISDA.
Katanya, bagi bantuan Program Tanam Semula Getah, sebanyak RM1.6 juta diberi kepada1,267 pekebun kecil membabitkan keluasan 1,417 hektar.
“Bantuan Program Prasarana Asas Pertanian pula, kita memperuntukkan RM900,000 kepada 101 pekebun kecil dengan keluasan 98.6 hektar.
“BantuanProgram Aktiviti Ekonomi Tambahan RM1.125 juta dengan 122 projek, manakala Program Agromakanan pula sebanyak RM870,800 dengan membina 37 projek,” katanya.