Nasib pekebun kecil khususnya dari luar bandar berubah melalui bantuan keusahawanan yang disalurkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA)N.
Bermula daripada kosong, RISDA membantu usahawan dengan memberi bimbingan mengembangkan perniagaan masing-masing hingga ada yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Menurut usahawan pakaian dan aksesori bayi, Khairunnisa Ahmad Zamri, 36, pada peringkat awal perniagaan, dia hanya mampu menghasilkan pakaian bayi secara kecil-kecilan disebabkan kekurangan mesin.
Bagaimanapun, usahawan dari Bandar Darulaman Jitra ini mendedahkan, semuanya berubah apabila dia menerima bantuan mesin daripada RISDA.
“Bermula 2016, saya mengeluarkan pakaian tradisional seperti baju Melayu, sampin songket, set tanjak songket untuk bayi baru lahir hingga berusia dua tahun.
Khairunnisa antara usahawan bimbingan RISDA yang ditemui Sinar Harian pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di pekarangan Stadium Darul Aman di sini, pada Jumaat.
“Sebagai anak pekebun kecil, saya mencuba nasib memohon bantuan RISDA. Alhamdulillah, saya menerima bantuan mesin jahit lubang butang dan dapat menghasilkan sendiri kemeja bayi di bawah jenama Nazkids,” jelasnya.