Statistik Industri Getah Malaysia April - Jun 2022

Isi Kandungan

1. Statistik Industri Getah Malaysia April - Jun 2022

Perangkaan Getah Malaysia merupakan terbitan bulanan yang mengandungi maklumat keseluruhan semasa mengenai industri getah Malaysia. Terbitan ini merangkumi suku tahun kedua 2022 iaitu bagi bulan April, Mei dan Jun yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Artikel ini menjelaskan kedudukan semasa secara keseluruhan, pergerakan pengeluaran, perdagangan, dan penggunaan analisis semasa industri getah negara. Bagi mendapatkan gambaran penuh industri getah Malaysia,  anda boleh rujuk semula maklumat Statistik Getah Malaysia bagi tahun 2021.
Buat makluman anda, Suara RISDA adalah sebuah blog khusus yang mengupas industri getah di Malaysia termasuk informasi keadaan terkini, program-program dan bentuk bantuan yang diwujudkan oleh RISDA terutama kepada para pekebun kecil getah. Sekiranya anda mempunyai sebarang persoalan atau inginkan keterangan lanjut, Sila hubungi kami.

2. Data Eksport dan Import Getah Malaysia April - Jun 2022

Sepanjang suku tahun kedua, data eksport getah negara direkodkan mengalami trend turun naik. Sekitar April, eksport getah asli meningkat 10.2% (58,775 tan metrik) berbanding bulan terakhir suku pertama 2022. Namun, bulan Mei menyaksikan penurunan hasil eksport iaitu sekitar 26.3% (43,197 tan metrik) yang mana jumlah penghasilan stok getah asli bulan yang sama juga jatuh kepada 2.8% (289,430 tan metrik).
Kenaikan prestasi eksport getah kembali direkodkan pada bulan seterusnya dengan sebanyak 35.6% (43,194 tan) hasil getah negara dieksport ke luar negara. Pada ketika ini, destinasi utama eksport getah asli negara ialah China (39.8%), Amerika Syarikat (5.8%), Jerman (5.3%), Finland (3.8%), dan Turki (2.7%).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan, kesemua prestasi eksport adalah hasil daripada pemintaan produk yang berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, industri pembuatan tayar, tiub, benang getah, kondom dan sebagainya.
Sementara itu, kadar import getah negara juga dilihat mengalami trend penurunan yang agak ketara pada suku tahun kedua 2022. Permulaan bulan April menyaksikan permintaan import dari negara luar meningkat sekitar 106,900 tan metrik yang berkemungkinan dikaitkan dengan penghasilan getah tempatan terutamanya pekebun kecil yang menghadapi musim luruh.
Namun, menjelang Mei dan Jun, penurunan secara sekata direkodkan iaitu 95,500 tan metrik (Mei) dan 89,265 tan metrik (Jun). Walaupun kadar import getah Malaysia menurun, namun menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah stok getah asli semasa kini juga menurun sebanyak 3.0% (Jun) iaitu sebanyak 280,826 tan metrik daripada 289,429 tan metrik berbanding bulan sebelumnya.

3. Pengeluaran Getah Malaysia

Pengeluaran getah Malaysia secara amnya disumbangkan oleh dua sektor utama pengeluar iaitu pekebun kecil dan sektor estet. Buat pengetahuan anda, pengeluaran getah daripada sektor pekebun kecil merupakan aset utama industri getah Malaysia dengan peratusan pengeluaran sebanyak 87.2% berbanding sektor estet yang hanya menyumbang 12.8% pada ketika ini. Ini bermaksud bantuan dan inisiatif untuk sektor pekebun kecil harus diperincikan dan ditambah baik dalam usaha untuk mendorong sektor ini mengekalkan prestasi pengeluaran getah negara.
Menurut kenyataan daripada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada tahun lepas, pihak kerajaan akan terus komited dalam memastikan industri getah tempatan terus berkembang. Pada tahun 2021, industri getah tempatan menyumbang sebanyak RM71 bilion sekaligus meletakkan industri getah sebagai penyumbang utama ekonomi Malaysia.
Berikutan, hakikat bahawa jumlah stok getah asli negara menurun seperti dinyatakan di atas boleh menjejas kestabilan ekonomi negara. Memandangkan pekebun kecil jelas memberikan sumbangan terbesar dalam penghasilan getah negara, usaha bagi memastikan produktiviti getah berterusan malah meningkat dalam kalangan pekebun kecil perlu diberi perhatian.

4. Inisiatif Bantuan Tanam Semula

Sebagai salah salah satu inisiatif dalam membantu sektor pengeluaran getah negara dan juga sepertimana yang termaktub dalam Akta 85 Tahun 1972, RISDA diberi tanggungjawab untuk melaksanan program Inisiatif Bantuan Tanam Semula untuk memberi bantuan terutamanya kepada para pekebun kecil. Asas program ini bertujuan bagi menanam semula kebun getah tua yang tidak ekonomik dengan benih baharu yang mempunyai potensi penghasilan yang tinggi.
Program seumpama ini adalah salah satu usaha RISDA untuk membantu masyarakat pekebun kecil meningkatkan produktiviti kebun getah mereka. Selain itu, melalui program ini, pekebun kecil layak menerima bantuan dalam bentuk wang tunai, input pertanian seperti benih, baja, racun dah khidmat bimbingan.
Bantuan Tanam Semula ini juga merupakan salah satu inisiatif RISDA untuk meningkatkan prestasi industri getah negara secara keseluruhan. Selain daripada itu, terdapat pelbagai lagi inisiatif lain yang telah dijalankan oleh RISDA demi kelangsungan industri getah negara. Antaranya adalah seperti Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) sebagai salah satu langkah RISDA untuk memastikan setiap bantuan yang dirangka selaras dengan objeketif MPSR 2021 – 2025.
Buat makluman anda, Suara RISDA adalah sebuah blog khusus yang mengupas industri getah di Malaysia termasuk informasi keadaan terkini, program-program dan bentuk bantuan yang diwujudkan oleh RISDA terutama kepada para pekebun kecil getah. Sekiranya anda mempunyai sebarang persoalan atau inginkan keterangan lanjut, Sila hubungi kami.
Laman Bantuan Tanam Semula mempunyai segala maklumat am yang boleh anda rujuk mengenai program ini. Sekiranya anda memerlukan maklumat lanjut, anda digalakkan menghubungi pegawai kami.
Top