Cara Meningkatkan Produktiviti Getah

Isi Kandungan

1. Cara Meningkatkan Produktiviti Getah

Berdasarkan temu bual bersama mantan Pengerusi RISDA (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah), Yang Berhormat Datuk Seri Haji Mohd Salim Bin Mohd Sharif, antara cabaran terbesar dalam industri getah Malaysia yang telah dikupas ialah produktiviti getah negara. Kadar produktiviti getah negara boleh dinilai berdasarkan Statistik Industri Getah Malaysia Jan – Mac 2022 di mana data eksport getah asli negara pada bulan Mac 2022 hanya sebanyak 53,328 tan berbanding data import yang sebanyak 119,963 tan.
Apabila diteliti, RISDA berjaya mengenalpasti empat sebab utama hasil getah rendah. Keempat-empat sebab hasil getah rendah ini melibatkan proses penjagaan kebun getah itu sendiri.

Empat sebab hasil getah rendah yang telah dikenalpasti oleh RISDA termasuk;

Teknik Penorehan
Proses Pembajaan
Kawalan Makhluk Perosak
Kawalan Penyakit

2. Praktikkan Teknik Penorehan Betul

Teknik penorehan getah memainkan peranan penting dalam produktiviti sesebuah kebun getah. Ini kerana perolehan hasil getah seperti getah sekerap atau susu getah bergantung kepada teknik penorehan yang digunakan sewaktu proses menoreh getah. Teknik penorehan getah yang salah boleh;

Mencederakan batang pokok getah
Memendekkan tempoh ekonomik sesebuah getah
Menghasilkan kuantiti dan kualiti lateks yang rendah

Sebaliknya, jika anda mempraktikkan teknik penorehan yang betul, anda boleh menggandakan produktiviti kebun getah anda untuk jangka masa lebih panjang.

Inisiatif RISDA

Bagi membantu anda mempelajari teknik penorehan yang betul, RISDA telah mengeluarkan beberapa inisiatif perkongsian teknologi seperti Amalan Pertanian Baik atau GAP (Good Agriculture Practice). Inisiatif GAP memberi peluang kepada anda untuk mengikuti kursus, konvensyen dan taklimat mengenai teknik pertanian terbaik  terutama bagi tanaman getah.
Intisari inisiatif ini termasuk teknik penorehan yang betul, cara menguruskan kebun, teknik pembajaan dan lain-lain. Perkongsian ini ialah salah satu cara tingkatkan produktiviti getah yang RISDA tawarkan tanpa sebarang kos.

3. Amalkan Proses Pembajaan dan Rangsangan Pokok

Mempraktikkan teknik penorehan yang betul ialah langkah pertama untuk meningkatkan produktiviti getah. Cara tingkatkan produktiviti getah selanjutnya adalah dengan mengamalkan proses pembajaan secara berkala dan proses rangsangan pokok getah bila perlu. Proses pembajaan pokok getah penting untuk memastikan pokok getah anda sihat dan subur. Proses rangsangan pula boleh dilakukan untuk membolehkan pokok getah anda menghasilkan lebih banyak lateks.

Terdapat dua bentuk rangsangan yang boleh dilakukan pada pokok getah anda iaitu;

Rangsangan Etefon
Rangsangan Gas

Setiap jenis rangsangan getah yang boleh dilakukan mempunyai kriteria tersendiri berdasarkan usia tanaman getah anda dan kesuburan pokok getah itu sendiri.

Inisiatif RISDA

Bagi memudahkan proses pembajaan, RISDA mempunyai pelbagai inisiatif bagi tujuan pemberian bekalan baja kepada pekebun kecil. Bekalan baja ini diberikan kepada pekebun kecil yang menyertai sekurang-kurangnya salah satu daripada program berikut;

Skim Insentif Produktiviti Getah (SIPG)
Program Peningkatan Produktiviti Getah (PPG)

Setiap program mempunyai komponen pakej berbeza yang membekalkan baja, peralatan menoreh, alat melindung hujan, racun, serta banyak lagi. Anda mempunyai kebebasan untuk memilih jenis program dan pakej berdasarkan keperluan serta objektif perusahaan getah anda.

4. Laksanakan Kawalan Makhluk Perosak

Selain daripada melaksanakan proses menyuburkan tanaman getah anda, kawalan makhluk perosak juga merupakan salah satu cara tingkatkan produktiviti getah. Makluk perosak boleh menjadi sebab hasil getah rendah apabila makhluk perosak ini mengancam kesuburan pokok getah dengan mencederakan bahagian pokok seperti batang pokok getah atau melalui penyebaran penyakit bawaan.

Secara am, makhluk perosak bagi tanaman getah boleh dibahagikan kepada tiga iaitu;

Serangga – seperti belalang, cengkerik/keredik, anai-anai, teritip, koya, ulat daun, hama kuning, ulat kumbang kaboi, kumbang belalai, kumbang kura-kura, dan kumbang daun
Moluska – seperti siput babi dan lintah bulan
Mamalia – seperti rusa/kijang/pelanduk, babi hutan, tikus, dekan, landak, tupai, tupai tanah, monyet, dan gajah

Makhluk perosak seperti serangga dan moluska membawa risiko tinggi kepada anak pokok getah atau pokok getah belum matang. Sementara itu, mamalia pula bukan sahaja boleh mencederakan pokok getah matang, malah boleh mencederakan anda, sebagai pemilik dan pengusaha kebun getah ketika proses operasi harian.

Inisiatif RISDA

Bagi membantu menangani isu ini, pihak RISDA telah merangka beberapa inisiatif berbentuk dana serta latihan. Permohonan dana atau bantuan kewangan untuk melaksanakan kawalan makhluk perosak di kebun-kebun pekebun kecil boleh dilakukan di pejabat RISDA daerah terdekat. Selain itu, para pekebun kecil juga boleh memohon bantuan dari segi latihan atau demonstrasi di pejabat daerah yan sama atau dengan menghubungi kami secara langsung.
Setakat ini, sebarang bentuk bantuan kawalan makhluk perosak lazimnya disenaraikan bersama bantuan-bantuan lain khusus untuk meningkatkan produktiviti kebun getah pekebun kecil.

5. Segerakan Kawalan Penyakit

Jangkitan penyakit pada pokok getah juga merupakan sebab hasil getah rendah yang amat ketara. Sekiranya tanaman getah anda terkena jangkitan pada mana-mana anggota pokok, ini akan mengakibatkan pengurangan penghasilan susu getah. Setakat ini, pihak RISDA telah mengenalpasti beberapa penyakit yang boleh menyebabkan hasil getah seperti susu getah atau getah sekerap menurun.

Antara penyakit yang telah dikenalpasti oleh RISDA ialah;

Penyakit Luruhan Daun Pestalotiopsis (LDP)
Penyakit Luruhan Daun Oidium
Penyakit Luruhan Daun Colletorichum
Penyakit Luruhan Daun Phytophthora

Penyakit luruhan daun, seperti dinamakan menyebabkan luruhan daun yang ketara pada pokok getah. Lateks pokok getah yang mengeluarkan hasil getah seperti susu getah dan getah sekerap hanya boleh dihasilkan sekiranya proses fotosintesis pada daun pokok getah berlaku. Ini merupakan sebab hasil getah rendah pada pokok yang dijangkiti salah satu penyakit luruhan daun ini.

Inisiatif RISDA

RISDA mengambil berat operasi kawalan penyakit memandangkan jangkitan penyakit merupakan salah satu cabaran terbesar dalam produktiviti getah pekebun kecil. Melalui Program Peningkatan Produktiviti Getah (PPG), RISDA menawarkan bantuan dalam bentuk servis kawalan penyakit dalam kedua-dua komponen pakej program ini.

Secara am, anda boleh mendapatkan sebarang bantuan yang diperlukan dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti getah anda. Pihak RISDA membekalkan pelbagai cara tingkatkan produktiviti getah dengan kos rendah atau bergantung kepada kriteria, tanpa kos. Anda dialu-alukan untuk menghubungi kami sekiranya anda memerlukan sebarang konsultasi atau maklumat lanjut.

RISDA. (n.d.). Portal Rasmi RISDA – Teknologi. Risda. Retrieved November 17, 2022

RISDA. (2022). Teknik Kawalan Penyakit Akar .

RISDA. (2022). Teknik Kawalan Penyakit Daun 

RISDA. (2022). Teknik Mengawal Musuh (Makhluk Perosak).

Top