Suara Risda

Cara Mengembangkan Perniagaan Melalui Program Pembangunan Usahawan

Isi Kandungan

1. Kenapa Penting untuk Kembangkan Perniagaan Anda?

Memulakan perniagaan sendiri merupakan satu cabaran yang besar tetapi ini hanya langkah pertama. Setelah anda berjaya memulakan bisnes, langkah seterusnya yang perlu anda pertimbangkan ialah proses mengembangkan dan memajukan perniagaan anda. Secara lazim, ada dua cabang perkembangan perniagaan yang perlu anda bezakan iaitu;
Pertumbuhan Perniagaan yang memfokuskan tumbesaran bisnes anda sama ada dari segi jenama, tenaga kerja, atau penghasilan produk. Cabang ini lebih memfokuskan cara memajukan perniagaan anda dari segi pembangunan jenama atau syarikat secara keseluruhan.
Pertambahan Keuntungan yang memfokuskan peningkatan keuntungan dari segi jualan produk atau perkhidmatan. Cabang ini pula lebih memfokuskan cara untuk anda kembangkan bisnes dari segi kewangan.
Terdapat empat sebab kenapa penting untuk anda, sebagai usahawan mikro, memberi perhatian terhadap pengembangan perniagaan dari segi pertambahan keuntungan;

1. Membina Model Perniagaan yang Berjaya

Apabila anda memulakan proses perkembangan perniagaan, anda boleh mula memerhati dan meneliti model perniagaan paling berkesan untuk bisnes anda melalui penambahbaikan produk atau servis yang anda laksanakan. Ini membantu anda merangka strategi selanjutnya dalam usaha memajukan perniagaan anda pada skala lebih besar.

2. Menarik Tarikan Pelabur Baharu

Sekiranya anda memulakan perniagaan secara persendirian bermodalkan wang anda sendiri atau pinjaman, perkembangan bisnes anda boleh menarik perhatian pelabur baharu. Ini akan memudahkan fasa perkembangan perniagaan anda yang selanjutnya terutama dari segi kewangan.

3. Membuka Ruang Perundingan dalam Pembiayaan atau Jualan

Selepas anda berjaya mengembangkan perniagaan anda, anda secara tidak langsung mempunyai ruang untuk menyertai rundingan pembiayaan atau jualan anda. Ini termasuk mempunyai pengaruh apabila anda berurusan dengan pemborong atau pengusaha lain yang menyalurkan bekalan kepada bisnes anda.

4. Memberi Kebebasan untuk Berkembang dalam Pasaran

Setelah anda berjaya mengembangkan perniagaan dan mencipta nama dalam industri, anda akan mula mendapat kebebasan untuk terus berkembang serta menjadi pemain utama dalam sesebuah pasaran. Ini memudahkan lagi proses pertumbuhan perniagaan dalam industri pilihan anda untuk masa akan datang.

2. Cara-Cara untuk Mengembangkan Perniagaan Anda

Pertambahan Keuntungan yang memfokuskan peningkatan keuntungan dari segi jualan produk atau perkhidmatan. Cabang ini pula lebih memfokuskan cara untuk anda kembangkan bisnes dari segi kewangan.
Jika diperhatikan, kebanyakan tips berniaga yang boleh anda temui dalam talian lebih cenderung kepada pertumbuhan perniagaan. Ini kerana sebagai seorang usahawan, pertumbuhan perniagaan patut dijadikan matlamat jangka panjang anda. Sebagai usahawan mikro, beberapa cara untuk mengembangkan perniagaan anda terutama dari segi pembangunan produk dan servis termasuk;

Kemahiran dan Inovasi

Cara memajukan perniagaan melalui peningkatan kemahiran dan inovasi merupakan tips berniaga yang sering dikaitkan dalam pertumbuhan perniagaan. Hakikatnya, kaedah ini boleh digunapakai secara berterusan sama ada ketika anda baru sahaja ingin memulakan proses pertambahan keuntungan atau sudah mula berjinak-jinak dengan proses pertumbuhan perniagaan.

Hal ini kerana proses menambah kemahiran sama ada dari segi penghasilan produk atau asahan skil perkhidmatan boleh membuka peluang perniagaan yang lebih meluas. Anda boleh mempelajari pelbagai teknik atau automasi baharu, skil pengurusan perniagaan yang lebih teratur, dan sebagainya.

Menyertai bengkel kemahiran atau mendapat pengiktirafan inovasi yang dilaksanakan membantu menambah nilai pada produk dan servis tawaran anda.

Akredasi dan Persijilan

Mendapatkan akredasi atau persijilan seperti Pensijilan Halal, Pensijilan MesTI (Makanan Selamat Tanggungjawab Industri), Pensijilan GMP (Amalan Perkilangan Baik), dan Pensijilan HACCP (Hazard Analysis and Critical Control Points) boleh membantu meningkatkan mutu produk atau servis anda. Kaedah ini memberi galakan kepada pelanggan untuk mempercayai produk atau servis yang anda tawarkan sekaligus mencetus rasa setia terhadap jenama anda.

Pembungkusan, Pelabelan, dan Penjenamaan

Menaiktaraf pembungkusan, pelabelan, dan penjenamaan produk atau servis anda juga salah satu cara untuk anda kembangkan bisnes . Ini kerana proses ini boleh memberi gambaran apa yang boleh anda perbaiki atau perbaik sama ada dari segi penghasilan produk, pembungkusan produk, atau pelaksanaan servis. Tambahan, proses ini boleh dijadikan langkah pertama untuk anda membina jenama sendiri.

3. Inisiatif dan Sumber RISDA

Dalam usaha untuk mencapai objektif Model Perancangan Strategik RISDA (MPSR) bagi tahun 2020 – 2025 iaitu “pekebun kecil memperoleh purata pendapatan kolektif RM4,500 sebulan sekeluarga pada akhir tahun 2025”, RISDA (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah) telah merangka sebuah program khusus bagi menggalakkan para pekebun kecil menceburi bidang perusahaan.

Program Pembangunan Usahawan merupakan inisiatif utama yang dirangka oleh RISDA bagi mencapai matlamat MPSR 2020 – 2025. Melalui program ini, RISDA menawarkan pelbagai inisiatif dan sumber untuk membantu usahawan yang berdaftar mengembangkan perniagaan mereka.  Bantuan ini termasuk memudahkan para usahawan berdaftar mengembangkan perniagaan mereka melalui empat kaedah di atas dengan mengadakan seminar atau bengkel kemahiran, mengatur sesi akredasi atau persijilan, dan membekalkan dana tambahan sekiranya perlu.

Setiap inisiatif dan bantuan ditawarkan tertakluk kepada empat sektor tambahan di bawah payung Program Pembangunan Usahawan iaitu;

Sektor Pembekalan Input Perusahaan
Sektor Pengeluaran Produk
Sektor Pengumpulan dan Pemasaran Produk
Sektor Pemprosesan Produk
Keempat-empat sektor ini memainkan fungsi berbeza mengikut rangkaan strategi perkembangan perniagaan anda dan industri perniagaan yang diceburi. Bagi melayakkan anda menerima bantuan serta inisiatif RISDA untuk mengembangkan bisnes anda, anda perlulah berdaftar sebagai usahawan RISDA melalui Entry Point Project (EPP) Program Pembangunan Usahawan – skim Aktiviti Ekonomi Tambahan.
Jika anda merupakan salah seorang pekebun kecil berdaftar atau ahli isi rumah yang berminat untuk membuka perniagaan anda sendiri dan menerima bimbingan berterusan dalam memajukan bisnes anda, sila hubungi kami bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Top