Suara Risda

Bantuan tanam semula getah sedia manfaat jangka panjang

SEREMBAN: Bantuan keseluruhan sebanyak RM12.34 juta yang disalurkan Pihak Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) melalui program pembangunan di Negeri Sembilan dapat mengembangkan perniagaan dan pendapatan pekebun kecil serta usahawan desa.

Keprihatinan Risda itu selaras dengan usaha kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk memperkasa ekonomi masyarakat di luar bandar.

Bantuan yang disalurkan bermula Januari hingga Jun tahun ini merangkumi projek tanam semula sebanyak RM5.14 juta, prasarana asas pertanian (RM1.12 juta), agromakanan (RM1.03 juta) dan aktiviti ekonomi tambahan (RM1.26 juta).

Seorang pekebun kecil, Azman Salam, 68, dari Lenggeng berkata, inisiatif itu banyak membantu peserta pekebun kecil Risda dari segi pembangunan dan menanam semula getah.

“Risda membantu dalam program tanam semula getah tua yang tidak ekonomi kepada benih getah baharu yang boleh mengeluarkan hasil tinggi.

“Selain berkebun, Risda membantu aktiviti ekonomi tambahan kepada usahawan desa untuk menambah pendapatan seperti anak saya sendiri yang mengusahakan perniagaan membuat kuih sepit. Aktiviti ekonomi lain penduduk adalah membuat kuih bahulu, kedai jahitan dan bengkel kereta turut dibantu,” katanya selepas majlis Sentuhan Kasih Desa, Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di Dataran Nilai di sini, semalam.

Majlis berkenaan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Terdahulu, dia yang merupakan wakil penerima bantuan keseluruhan sebanyak RM12,339,101.62 Program Pembangunan Risda di Negeri Sembilan menerima replika cek yang disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri.

Dalam pada itu, seorang penternak ikan air tawar, Muhammad Arif Mohd. Yasin, 30, dari Rembau berkata, dia pertama kali menerima bantuan agromakanan daripada Risda merangkumi bekalan peralatan perikanan dan makanan ikan.

“Dalam situasi sekarang makanan ikan sangat mahal. Dengan bantuan ini saya dapat mengurangkan kos selain menyuntik semangat untuk mengembangkan ternakan ikan air tawar di Negeri Sembilan,” katanya.

Seorang pengusaha bertih jagung dari Nilai, Firzah Puasa, 37, pula berkata, pengeluaran produknya mampu meningkat sehingga tiga kali ganda melalui bantuan geran mesin oleh Risda di bawah program aktiviti ekonomi tambahan.

“Mesin industri elektrik ini boleh mengeluarkan hasil bertih jagung sebanyak tiga tan metrik sebulan berbanding satu tan metrik sebulan sebelum ini.

“Saya berharap dengan bantuan mesin bertih jagung daripada Risda ini dapat mengembangkan produk pengeluaran dan mencapai hasrat menembusi pasaran di Brunei, Singapura dan Indonesia,” katanya. – UTUSAN
Top